Terengganu FC Mahu Rantai Safawi Dan Cabrera Dari Membuat Jaringan

Aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia 2018 akan menemukan Terengganu Football Club (TFC) dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu pada malam esok, 06 Oktober 2018. Kelibat Safawi Rasid dan Gonzalo menjadi perhatian Fox Sports antara lima perkara oleh TFC untuk menumpaskan JDT.

Awasi Safawi dan Cabrera, elakkan JDT mendapatkan jaringan di tempat lawan

TFC bernasib baik kerana Fernando Marquez ditimpa kecederaan pada pertembungan akhir menentang MIFA di peringkat kumpulan. Namun kelibat Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid yang dalam prestasi terbaik perlu diawasi. Kedua-dua pemain ini telah menghasilkan tujuh gol dalam saingan Piala Malaysia dan kemampuan yang ada pada mereka mampu membuat TFC berputih mata. Gonzalo memiliki kelajuan dan kemampuan gelecekan yang tinggi manakala anak kelahiran Terengganu, Safawi mempunyai naluri tinggi untuk menjaringkan gol dari pelbagai sudut. Selain itu, TFC perlu bermati-matian untuk mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi agar dapat menafikan kelebihan jaringan di tempat lawan buat JDT.


Kelebihan trio Tuck, Kipre dan Ashari perlu dimanfaatkan

Terengganu FC setakat ini berjaya menjaringkan 24 gol dalam kempen Piala Malaysia 2018. Daripada 24 gol tersebut, Lee Tuck, Tchetche Kipre dan Ashari Samsudin berjaya meledak sebanyak 16 gol. Ditambah pula dengan aksi pertama dimainkan di halaman sendiri, TFC perlu memanfaatkan trio ini bagi mendapatkan seberapa banyak gol di Kuala Terengganu sebagai bekalan aksi timbal balik di Stadium Larkin. Elakkan trio ini daripada dirantai pemain JDT disamping layangan kad dan juga mendapat kecederaan.


Kemaskan barisan pertahanan

Terengganu antara pasukan yang berbisa dibahagian serangan mereka, namun berbeza pula dibahagian pertahanan mereka. Setakat ini, mereka telah bolos sebanyak 17 kali dalam saingan Piala Malaysia, tertinggi dalam kalangan pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir. Suatu perkara yang perlu diberikan penekanan yang serius oleh Irfan Bakti dan juga pemain pertahanan TFC. Tambah malang, Nasrullah yang sering digandingkan bersama Igor Zonjic pula digantung ekoran mengumpul dua kad kuning. Menarik untuk disaksikan gandingan bek tengah manakah yang akan diturunkan Irfan Bakti pada Sabtu nanti.

Mentaliti menang dan jangan berputus asa

Perlawanan suku akhir menentang Felda United menampilkan pasukan TFC bangkit daripada ketinggalan 0-2 dan mencatatkan kemenangan 4-3 di SSINS, Kuala Terengganu. Malah, pengurus dan ketua jurulatih, Irfan Bakti turut memuji semangat anak buahnya yang bertarung habis-habisan demi menafikan kemaraan skuad kendalian B. Sathianathan. Jika TFC berjaya mengulangi semangat dan mentaliti yang sama, tidak mustahil mereka mampu mencatatkan kemenangan pada aksi pertama dan meneruskan motivasi tersebut di aksi kedua.

Kelibat lincah Faiz Nasir ditagih

Pemain dengan jersi bernombor 15, Faiz Nasir merupakan pemain bertubuh kecil namun mempunyai gaya permainan lincah dan skil yang tinggi. Seringkali mendapat gelaran “Messi Ganu”, beliau tidak kerap diturunkan oleh Irfan Bakti. Namun ketika aksi kedua suku akhir menentang Felda United lalu, Faiz Nasir jelas merupakan punca disebalik kemenangan 4-3 Terengganu. Beliau secara langsung terlibat dalam dua gol TFC dengan melorongkan bola kepada Adib Aizuddin dan juga Kipre Tchetche. Keupayaan beliau boleh digunakan untuk mengucar-kacirkan barisan pertahanan JDT dan juga sebagai senjata untuk melancarkan serangan balas.

Ulasan