Tchetche puas takluk Larkin



KIPRE Tchetche. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mahu rakan sepasukannya mengekalkan rentak serta semangat yang sama pada pentas akhir Piala Malaysia nanti, seperti ketika mengenepikan cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT).
Pada separuh akhir kedua malam tadi, mereka membuktikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin tidak terlalu kebal buat skuad Harimau Selatan apabila berjaya 'menakluki' gelanggang itu dengan meraih keputusan 2-2, selepas ketinggalan dua gol.
Malah lebih menggembirakan penyerang kelahiran Ivory Coast itu apabila berjaya meledak dua gol penting dalam kebangkitan dramatik untuk meraih kelebihan agregat 3-2, selepas menang 1-0 dalam separuh akhir pertama di Kuala Terengganu.
“Tiada kata-kata indah yang boleh saya ungkapkan selain begitu puas apabila kami layak ke pentas akhir. Bukan mudah untuk menundukkan JDT di laman mereka dengan sokongan padu lebih 20,000 peminatnya.
"Tapi kami datang dengan semangat berkobar-kobar untuk mencipta sejarah dan berjaya merealisasikan impian itu walaupun pada awalnya ketinggalan," kata Tchetche.
Pada aksi mendebarkan itu, Harimau Selatan terlebih dulu membuka tirai jaringan melalui sepakan penalti kontroversi, Fernando Marquez pada minit ke-40.
Stadium Larkin kembali bergema pada minit ke-62, apabila Gonzalo Cabrera meledak jaringan kedua JDT, sebelum Tchetche menutup mulut penyokong tuan rumah apabila meledak dua gol pada minit ke-68 dan masa kecederaan minit ke-92.
Tchetche yang menyertai TFC sejak pertengahan musim lalu enggan mendabik dada biarpun muncul wira pasukan, sebaliknya pemain berusia 30 tahun itu menyatakan kemenangan itu hasil semangat berpasukan.
"Ini adalah usaha keras semua pemain yang beraksi dengan baik tanpa putus asa walaupun diasak hebat dan lawan meledak dua jaringan awal.
"Saya harapkan rentak kemenangan ini dapat diteruskan pada aksi akhir nanti, seterusnya menjulang trofi,” katanya yang bakal memimpin pasukan berdepan saingan Perak atau Sabah untuk aksi final nanti.
Setakat ini, pemain itu berkongsi tujuh jaringan dalam aksi Piala Malaysia bersama arkitek TFC, Lee Tuck.

Ulasan