SORAKAN LARKIN, PERLAWANAN TERAKHIR DAN KESETIAAN - TIGA SEBAB UTAMA PENYOKONG PERLU PENUHKAN STADIUM LARKIN

SORAKAN LARKIN, PERLAWANAN TERAKHIR DAN KESETIAAN - TIGA SEBAB UTAMA PENYOKONG PERLU PENUHKAN STADIUM LARKIN
Hanya tinggal seminggu sahaja lagi yang akan menjadi penentu sama ada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan mara ke perlawanan akhir unifi Piala Malaysia sekaligus berpeluang untuk mempertahankan piala yang dimenangi tahun lalu.
Pemain tentunya akan berjuang sehabis baik dengan corak permainan menyerang yang menarik. Penyokong pula pasti akan menuntut persembahan terbaik dari mereka. Tetapi sebagai penyokong, tiga perkara ini perlu dilakukan jika ingin membantu pasukan.
Faktor Sorakan Larkin sudah sinonim dengan JDT. Elemen pemain ke-12 ini dilihat antara elemen yang membantu melemahkan mental pasukan lawan. Lawan yang bertandang sering pulang hampa dan alasan yang sering diberikan adalah kerana suasana stadium yang membawa aura menggerunkan buat pasukan pelawat.
Sorakan ini perlu dikekalkan untuk memastikan semangat Terengganu dimatikan dari sebelum sepak mula lagi. Ramai yang percaya dengan kekuatan Sorakan Larkin dan ia sememangnya ditagih pada perlawanan ini nanti.
Faktor kedua adalah kerana ini merupakan perlawanan terakhir di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin musim ini. Pelbagai acara dan karnival sudah dirancang pihak pengurusan untuk menggembirakan dan mengisi masa penyokong sementara menunggu waktu perlawanan.
Jika pada perlawanan pertama kita berjaya mencatat angka 23,000 penyokong, tidak mustahil pada penutup juga kita mampu menyamai atau melepasi pencapaian ini. Setiap perlawanan JDT dengan kapasiti yang penuh sering menghadirkan keputusan gembira kepada para penyokong.
Faktor kesetiaan terhadap kelab adalah faktor yang perlu dibanggakan. Perlawanan separuh akhir kedua ini juga boleh dianggap sebagai pemanas badan sebelum ke final. Jika layak ke final, penyokong yang hadir sudah buktikan bahawa mereka bukan hanya muncul di perlawanan akhir.
Ayuh semua penyokong JDT, sambut penyokong Terengganu dengan hormat sepertimana mereka lakukan. Ayuh gegak gempitakan Larkin dan sokonglah pasukan hingga ke wisel penamat. Buktikan "grand finale" ini bukan biasa-biasa dan pastikan pengalaman menonton di stadium menjadi luar biasa. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan