Langkau ke kandungan utama

Skuad TFC I tekad lakar kejutan

Aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang JDT di Kuala Terengganu


AZIZI bersama rakan sepasukan tekad membantu TFC I mencatat kemenangan

AZIZI bersama rakan sepasukan tekad membantu TFC I mencatat kemenangan ke atas JDT pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu malam ini.
PEMAIN pertahanan Terengganu Football Club 1 (TFC 1), Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri percaya pasukannya mampu mencipta kejutan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Beliau bersama rakan sepasukan akan memberi fokus 100 peratus dan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mendapat bekalan selesa untuk dibawa ke Larkin, Johor minggu depan.
“Kali pertama saya melangkah ke peringkat separuh akhir ketika bersama skuad T-Team pada tahun 2016 dan ini merupakan peluang kedua saya bersama TFC 1.
“Sebagai anak jati Terengganu, sudah semestinya menjadi impian saya untuk menjulang piala berprestij ini bersama rakan-rakan lain setelah sekian lama tidak beraksi di pentas final,” katanya ketika ditemui Kosmo! ketika menyertai latihan di Kuala Nerus semalam.
Ujar pemain berusia 25 tahun itu, TFC 1 perlu bijak untuk memanfaatkan segala peluang walaupun menyedari mereka akan berhadapan dengan pihak lawan yang mempunyai barisan pemain berkualiti.
“Kedua-dua pasukan pasti akan memberikan aksi terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Jadi, kami perlu lebih berhati-hati dengan ancaman skuad JDT.
“Kami perlu bekerja lebih keras dengan memberikan tumpuan 100 peratus dalam usaha meraih kemenangan pada malam esok (hari ini),” ujarnya.

Ulasan