Semoga tragedi 2015 tidak berulang


PRESIDEN Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH), Dr Najmil Faiz Mohamed Aris. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
KUALA TERENGGANU: "Semoga tragedi penonton merusuh kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada 16 Mei 2015 tidak berulang lagi, ini harapan kami.
"Justeru kami merayu kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menyenaraikan pengadil yang bakal bertugas dalam perlawanan itu adalah mereka yang berwibawa dan profesional serta tidak berat sebelah bagi mengelak mana-mana pasukan teraniaya.
"Lebih penting pengadil mampu membuat keputusan yang bijak serta tepat dalam sesuatu situasi serta adil dan tidak ikut emosi bagi mengelak peristiwa pahit itu kembali berlaku," kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH), Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.
Pada perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala FA antara skuad Penyu menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak tiga tahun lalu, penyokong Terengganu yang 'naik minyak' kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan bertindak merusuh dengan membakar ambulans, membaling mercun dan memecahkan pintu cermin stadium sehingga memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan keadaan.
"PETEH juga memohon kerjasama daripada penyokong tegar TFC supaya dapat menjaga tingkah laku semasa perlawanan berlangsung serta elakkan daripada sebarang provokasi antara penyokong lawan dan jadikan kejadian tahun 2015 itu sebagai pengajaran," katanya.
Dalam pada itu Dr Najmil memohon kerjasama daripada semua pihak agar tidak mengganggu persiapan skuad Penyu itu yang kini fokus untuk melakar kejayaan kedua memburu piala berprestij itu.
"Kami harap jurulatih serta pemain dapat fokus pertemuan itu dan abaikan sebarang spekulasi yang sengaja ditimbulkan bagi tujuan mengganggu persiapan skuad TFC.
"Kami juga merayu pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan apa-apa spekulasi yang boleh menjejaskan persiapan dan fokus pemain dan jurulatih," ujar Dr Najmil.
Semalam sukan NSTP melaporkan spekulasi dalam media sosial yang mengaitkan Irfan Bakti berada dalam radar skuad Kuala Lumpur musim depan yang mungkin salah satu agenda untuk mengganggu fokus skuad Penyu sebelum dinafikan pengurus skuad The City Boys, Datuk Kamaruddin Hassan.

Ulasan