SEMANGAT YANG MENJADI ASAS KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM

SEMANGAT YANG MENJADI ASAS KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM
Dalam merealisasikan kejayaan demi kejayaan dan pencapaian Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), terdapat beberapa jenis semangat yang perlu ada kekal bertapak di dalam diri setiap pemain. Semangat dalam mencapai aspirasi (cita-cita), semangat dalam implementasi (perlaksanaan), semangat dalam mencari solusi (penyelesaian) dan semangat dalam integrasi (perpaduan).
1. SEMANGAT DALAM MENCAPAI ASPIRASI (CITA-CITA)
JDT merupakan sebuah kelab yang mempunyai misi, visi dan aspirasi yang telah diatur dengan rapi sejak kewujudan. Merupakan kelab kecil yang mempunyai aspirasi besar untuk menempa kejayaan dalam arena bola sepak.
Sebuah kelab profesional yang dilengkapi pengurusan, fasiliti dan penyokong yang terbaik telah menjadi tarikan utama buat pemain profesional antarabangsa dan tempatan untuk menyertai pasukan ini.
Adalah menjadi penghormatan bagi pemain yang dipilih untuk menjadi sebahagian dari kelab hebat yang bercita-cita tinggi ini. Kini, dunia lebih mengenali JDT berbanding kelab-kelab lain di negara ini.
2. SEMANGAT DALAM IMPLEMENTASI (PERLAKSANAAN)
Setiap tahun, penanda aras yang diletakkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor akan sedaya upaya dicapai mengikut perancangan yang telah diaturkan. Sejak penjenamaan semula JDT hasil inspirasi baginda, JDT membawa kesan yang besar dalam kancah bola sepak tanah air.
Falsafah JDT yang menerapkan kemahuan untuk memenangi setiap perlawanan, kesedaran taktikal dan revolusi permainan kepada bola sepak moden juga tidak pernah berubah. Berikutan kejayaan DYAM Tunku Mahkota Johor mengimplementasikan jalan keluar JDT dari pemikiran retrogresif bola sepak Malaysia, sejarah demi sejarah telah berjaya dicetak sejak 2013.
Perkara paling hebat adalah JDT berjaya menjadi pasukan tempatan pertama dari Malaysia yang menjulang piala berprestij Piala AFC 2015, selain memecah monopoli pasukan dari Asia Barat yang sebelum ini silih berganti menjadi juara Piala AFC. Dan paling tidak sabar adalah menyaksikan JDT berjuang kali pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada musim 2019!
3. SEMANGAT DALAM MENCARI SOLUSI (PENYELESAIAN)
JDT juga tidak lari dari mengalami masalah saban musim. Namun perkara ini bukan satu masalah yang besar untuk diselesaikan. Setiap masalah akan diselesaikan dengan secepat mungkin tanpa menganggu rentak dan pencapaian kelab. Semangat kekeluargaan dalam keluarga besar JDT adalah ‘formula trigo’ dalam menyelesaikan ‘kalkulus’ setiap masalah yang dihadapi.
4. SEMANGAT DALAM INTERGRASI (PERPADUAN)
Bangsa Johor merupakan tunjang kepada Keluarga JDT. Bangsa Johor merupakan komposisi yang paling utama dalam kelab ini. Istilah Bangsa Johor yang diguna pakai sejak sekian lama malahan telah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor (Perlembagaan Johor) memberikan makna yang mendalam dalam diri.
JDT bukan sekadar kelab bola sepak, tetapi sebuah organisasi. Dengan semangat integrasi sesama kita, JDT kini semakin berada di mercu kegemilangan! Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan