SAFAWI RASID (tengah) menjaringkan gol kedua JDT dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin.
JOHOR BAHRU 30 Sept. - Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa menyifatkan pasukannya berada pada prestasi terbaik manakala penyerang muda, Safawi Rasid pula mempamerkan aksi mengagumkan ketika Harimau Selatan menumpaskan Pahang 2-0 dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, semalam.
Kemenangan itu membolehkan JDT yang turun selaku juara bertahan mara ke separuh akhir menerusi agregat 3-1 dan akan menempah pertemuan dengan Terengganu, yang menyingkirkan Felda United secara agregat 6-4.
Safawi, 21, muncul wira tuan rumah apabila meledak kedua-dua jaringan mereka seawal minit pertama dan 73.
“Saya sangat gembira dengan keputusan perlawanan ini. Walaupun kami terlepas empat atau lima peluang untuk mencipta jaringan, namun kekecewaan itu diubati dengan dua jaringan Safawi.
“Semua pemain memulakan perlawanan malam ini dengan aksi menakjubkan dan sentiasa mengawal bola serta melakukan serangan seperti yang kami mahukan.
“Prestasi Safawi berada pada tahap memberangsangkan dan dia mampu menjadi lebih bagus pada masa akan datang,” kata Figueroa.
Seorang lagi pemain tempatan yang menyerlah adalah Ahmad Hazwan Bakri, yang mengisi kekosongan Fernando Marquez dengan cemerlang dan tidak bernasib baik gagal menyempurnakan gol.
“Selepas perlawanan, saya beritahu, dia telah melakukan tugas yang hebat, Dia banyak bergerak dan memberi kesukaran kepada pertahanan lawan. Dia tidak menjaringkan gol tetapi bermain dengan sangat baik,” kata jurulatih dari Argentina itu lagi.
Ulasan
Catat Ulasan