Rajagobal Enggan Mengesahkan Perpindahan Safiq Rahim Ke PKNS FC


Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal enggan mengulas tentang khabar angin mengenai bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim, bakal berhijrah ke pasukan PKNS FC musim depan.
Ketika ini banyak cakap-cakap di media sosial yang mengatakan Safiq Rahim akan keluar dari JDT dan dikatakan memilih pasukan lain yang berpangkalan di sekitar Lembah Klang ditambah pula dengan ketiadaan beliau dalam kesebelasan utama JDT sejak kebelakangan ini.

Datuk Rajagobal mengendalikan sesi latihan pasukan PKNS FC. Foto: PKNS FC

Namun begitu, Safiq melalui laman instagram miliknya menafikan akan keluar daripada JDT dan mengesahkan beliau masih mempunyai kontrak dengan skuad Harimau Selatan itu.

Bercakap kepada Stadium Astro, Rajagobal  tidak mahu mendedahkan nama pemain baharu yang akan dibawa masuk pada musim depan kerana ia masih di peringkat perbincangan.
“Apa yang penting adalah kami mendapatkan pemain yang kami perlukan. Untuk itu, saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi kerana segalanya masih dalam rundingan,” katanya.
Bekas pengendali kebangsaan itu baru sahaja mengesahkan kedudukannya bersama PKNS dilanjutkan bagi tempoh setahun menerusi kontrak barunya yang bakal berakhir pada November 2019.
“Mereka memberikan kepercayaan kepada saya untuk membimbing PKNS bagi musim akan datang.
“Sebagai jurulatih, saya perlu memikul tugas dan tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik pada musim depan,” tambah Rajagobal.

Ulasan