KUALA TERENGGANU: Biarpun skuad Terengganu FC (TFC) tidak memiliki bekalan selesa sebelum turun 'berperang' dalam baki 90 minit lagi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 20 Oktober ini, nada keyakinan tetap ada buat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu dalam misi ke final musim ini.
"Ini satu petanda baik kepada saya dan pasukan apabila kami berjaya mencatat kemenangan sebelum aksi separuh akhir kedua nanti yang pasti lebih mencabar.
"Walaupun hanya menang tipis 1-0, tapi ia tetap berharga buat kami sebelum pergi ke Johor," kata Irfan Bakti.
Pada perlawanan mendebarkan itu, skuad Penyu menewaskan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) hasil jaringan pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-78.
Bagaimanapun Irfan Bakti berkata, secara keseluruhannya beliau belum boleh tersenyum lebar selepas menyaksikan anak buahnya gagal mencipta lebih banyak peluang untuk menghasilkan jaringan walaupun beraksi di stadium sendiri.
Mengenai kepincangan jentera tengah pasukannya yang dikepalai Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin terutama pada babak pertama perlawanan, jurulatih itu mengakui perkara itu sebelum memasukkan Mohd Faiz Mohd Nasir bagi mengimbangi kekuatan lawan.
"Namun untuk perlawanan timbal balik di sana nanti saya akan memikirkan percaturan terbaik untuk berdepan penyokong lawan dan harap pemain yang diturunkan nanti lebih berdisiplin," kata Irfan Bakti.
Ulasan
Catat Ulasan