Pesan Zuber buat pemain TFCA


Legenda bola sepak Terengganu, Zuber Ibrahim kongsi ramuan kepada pemain Terengganu FC menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim Sabtu ini. - Foto Malik Muhamad
KUALA TERENGGANU: Pemain legenda bola sepak Terengganu, Zuber Ibrahim berkongsi ramuan buat pemain Terengganu FC (TFC) menjelang aksi penting separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Sabtu ini.
Bekas penjaga gol skuad Penyu berusia 52 tahun yang membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 turut berharap skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mampu mara ke final dalam misi meraih gelaran kedua dalam sejarah.
“Sebagai pemain yang pernah merasai suasana final sebanyak tujuh kali, saya nasihatkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim supaya lebih berdisiplin ketika bertahan, menyerang dan mengatur gerakan.
“Selain itu pemain harus buang perasaan takut dan gerun dengan reputasi lawan, sebaliknya perlu fokus 100 peratus di tengah padang serta tenang biarpun diasak pemain lawan.
“Pemain juga harus mempunyai mentaliti dan semangat yang kuat untuk melawan serta perlu ada sikap mahu bangkit dan tidak putus asa hingga minit akhir sekiranya ketinggalan,” kata Zuber yang juga bekas jurulatih penjaga gol skuad Penyu.
Pada aksi final 2001 menentang Perak, penjaga gol utama skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu melepaskan gol pendahuluan hasil jaringan Rafdi Rashid.
Namun kebangkitan pada babak kedua membantu skuad itu muncul juara apabila menang 2-1 menerusi jaringan Rosdi Talib dan Sapian Wahid selepas 80 tahun mencuba.
Mengulas lanjut, jurulatih penjaga gol skuad Terengganu FC II (TFC II) itu juga berharap strategi jurulatih menjadi selain pemain patuh dengan perancangan jurulatih sebaik mungkin.
“Apabila berada di tengah padang, jurulatih tak ada, cuma boleh bagi arahan dari luar padang saja. Oleh itu, pemain harus faham setiap tunjuk ajar jurulatih ketika sesi latihan kerana hanya pemain yang beraksi,” kata Zuber yang yakin TFC mampu mara sekalipun hanya mempunyai bekalan satu gol.

Ulasan