Langkau ke kandungan utama

Perak, JDT punya kelebihan

PEMAIN TFC, Mohd. Faiz Mohd. Nasir (kiri) diasak pemain JDT, S.

PEMAIN TFC, Mohd. Faiz Mohd. Nasir (kiri) diasak pemain JDT, S. Kunanlan dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Juara tujuh kali, Perak dan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat mempunyai kelebihan untuk mara ke final bola sepak Piala Malaysia, musim ini.
Bekas pengendali pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan menyifatkan kedua-dua pasukan mampu melangkah ke final walaupun berdepan situasi yang berbeza.
Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Perak mengatasi Sabah 5-0 di laman sendiri manakala Terengganu FC (TFC) pula menang tipis 1-0 ke atas JDT, juga di laman sendiri.
"Aksi timbal balik di antara JDT dan TFC adalah satu perlawanan yang dijangka sengit, namun saya lihat JDT adalah sedikit kelebihan kerana mereka beraksi sebagai satu unit yang mantap selain kebanyakan pemain mereka mempunyai skil individu yang terbaik di negara ini ," katanya hari ini.
Nada sama turut disuarakan pengendali MIFA, K. Devan yang melihat JDT dan Perak mempunyai kelebihan untuk mara ke final.
"Perak berpeluang cerah ke final berdasarkan kelebihan agregat yang mereka miliki manakala JDT mempunyai peluang ke final berdasarkan statistik cemerlang mereka dalam saingan awal Piala Malaysia," kata Devan yang pernah membimbing beberapa pasukan tempatan seperti Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengendali pasukan PKNP FC, Abu Bakar Fadzim sebaliknya berpandangan TFC dan Perak menjadi pasukan pilihan untuk mara ke final Piala Malaysia berdasarkan prestasi cemerlang yang dilakar kedua-dua pasukan berkenaan sepanjang pusingan awal.
Beliau bagaimapun mengakui kehadiran penyokong yang ramai dan rekod cemerlang di laman sendiri menjadi kelebihan kepada JDT untuk memberikan saingan sengit kepada TFC.
"Sebagaimana yang kita tahu rekod JDT di laman sendiri begitu cemerlang pada musim ini namun saya lihat keazaman dan kesungguhan yang dimiliki pemain TFC menjadi kelebihan untuk mereka mara ke final setelah kali terakhir pada 2011," kata Abu Bakar yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan. – BERNAMA

Ulasan