PEMAIN, PENYOKONG, PENGURUSAN - TIGA KOMPONEN PENTING DALAM MERENCANA KEJAYAAN JDT

PEMAIN, PENYOKONG, PENGURUSAN - TIGA KOMPONEN PENTING DALAM MERENCANA KEJAYAAN JDT
Perlawanan suku akhir kedua unifi Piala Malaysia di antara Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang jelas telah mengembalikan semula aura Stadium Larkin yang agak sunyi sebelum ini. JDT berjaya menewaskan Pahang dengan keputusan 2-0 dengan agregat 3-1.
Melalui perlawanan ini, jelas terlihat tiga komponen utama yang menggerakkan JDT bersatu di bawah lencana yang megah tersemat di dada pemain. Penyokong yang luar biasa, pemain memberikan lebih dari kebiasaan dan pengurusan yang bukan biasa-biasa.
Kehadiran semula penyokong seawal jam 5 petang membanjiri stadium dilihat sebagai petanda positif. Corteo Boys of Straits (BOS) kembali bergemuruh dan jelas menggangu emosi pemain lawan dari saat ketibaan mereka ke stadium. Sudah lama aura ini tidak dirasakan di Larkin dan ia jelas membantu menaikkan semangat pemain JDT.
Penyokong neutral pula sama-sama bersorak dan menyokong segala hantaran dan percubaan yang dilakukan JDT hingga mengakibatkan pemain Pahang gugup dan bermain seperti hilang punca. Mereka dilihat tidak dapat menampung asakan bertali arus JDT mengakibatkan mereka melakukan kesilapan yang mudah.
Ekoran dari semangat yang diberikan oleh penyokong, pemain JDT seolah-olah mendapat tonik tambahan dan memberikan persembahan bertenaga dan cukup menghiburkan penyokong yang hadir. Semua perancangan jurulatih dapat diadaptasi dengan baik dan kedudukan jaringan tidak menggambarkan tempo keseluruhan permainan.
Kesebelasan pemain yang diturunkan jelas menunjukkan kesungguhan yang tinggi dengan permainan yang meyakinkan dan kelihatan cukup cemerlang baik dari penjaga gol hingga ke penyerang. Barisan tengah JDT bermain seolah-olah dirasuk dengan permainan berintensiti tinggi hingga mengejutkan Pahang dari seawal minit pertama.
Apabila penyokong dan pemain bergabung suara dan tenaga di dalam stadium, jangan terlupa akan pihak pengurusan yang tidak pernah jemu mengajak penonton memenuhi stadium dan ianya bukan tugas yang biasa-biasa. Melihat kepada hasil akhir semalam, pihak pengurusan pasti menarik nafas lega dan ucapan terima kasih turut ditujukan kepada penyokong menerusi laman sosial.
Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sudah pasti akan merasa gembira kerana kesemua komponen utama ini bergandingan dalam mencapai kejayaan dan mencipta sejarah demi sejarah buat kelab. Kesatuan ini harap dapat dikekalkan ketika JDT bertemu Terengganu pada peringkat separuh akhir nanti. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan