Perlawanan terakhir Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini adalah menentang Terengganu FC di Kuala Terengganu dalam pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia 2018 pada Sabtu, 06 Oktober 2018. Dalam perlawanan itu JDT tewas dengan jaringan 0-1. Mereka akan bertemu semula dalam separuh akhir kedua di Stadium Larkin pada Sabtu, 20 Oktober 2018 jam 9.00 malam.
Pasukan yang memenangi perlawanan secara agregat akan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam. Walaupun tewas dalam perlawanan pertama, JDT masih mempunyai peluang untuk mara ke akhir. Ini memandangkan JDT pula kali ini akan bermain di hadapan penyokong mereka sendiri.
Sebaik sahaja pulang dari Kuala Terengganu, semua pemain pasukan JDT diberi masa untuk berehat bersama keluarga masing-masing. Masa itu sesuai bagi mereka bagi menenangkan fikiran dan melupakan kekalahan mereka malam itu dan seterusnya mengembalikan fokus serta semangat untuk hadapi perlawanan kedua nanti.
Pemain JDT akan berkumpul semula dan berlatih mulai esok, 10 Oktober 2018. Berbaki 10 hari itu akan dapat digunakan sepenuhnya oleh barisan jurulatih serta pemain dalam memantapkan permainan serta memperbaiki segala kelemahan yang berlaku dalam perlawanan pertama.
JDT masih ada 90 minit untuk diharungi dan membuktikan kepada semua bahawa mereka mampu bangkit dan seterusnya mara ke akhir buat kali kedua berturut-turut dengan harapan menjuarai Piala Malaysia juga buat kali kedua berturut-turut.
Ulasan
Catat Ulasan