JOHOR BAHRU 21 Okt. – Benjamin Mora memohon maaf daripada penyokong Harimau Selatan selepas pasukannya gagal mempertahankan Piala Malaysia setelah tewas secara dramatik kepada Terengganu FC (TFC) dalam separuh akhir malam tadi.
Johor Darul Ta’zim (JDT), yang ketinggalan dari segi agregat selepas kalah 0-1 dalam separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, kelihatan mampu ke perlawanan akhir apabila mendahului 2-0 dalam separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam tadi hanya untuk dikecewakan dengan dua gol pelawat selepas rehat.
Mora berkata, pemainnya telah bermain dengan sebaik mungkin untuk meraih banyak gol bagi memastikan mereka dapat beraksi sekali lagi di pentas final, namun nasib tidak menyebelahi skuad Harimau Selatan.
“Maafkan kami.
“Saya ucapkan banyak terima kasih kepada bos kami (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana banyak memberi sokongan. Kami juga ucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong kerana tidak putus-putus beri sokongan terhadap JDT.
“Kami minta maaf, kami sudah bermain dengan baik namun nasib tidak menyebelahi kami,” katanya selepas tamat perlawanan.
Beraksi di hadapan lebih 20,000 penonton, pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Fernando Andres pada minit ke-40 dan sepakan kencang Gonzalo Gabriel pada minit ke-61.
Namun TFC bangkit selepas itu dengan ketua pasukannya Tchetche Brice meledakkan dua gol pada minit ke-68 dan 90.
Mora berkata, selepas kecewa dalam usaha mempertahanan Piala Malaysia, tumpuannya kini akan dialihkan kepada latihan untuk menghadapi kempen tahun hadapan termasuk kejohanan Liga Juara-juara Asia (ACL) 2019.
Ulasan
Catat Ulasan