Kuala Lumpur ganggu fokus TFC?



KUALA LUMPUR: Ketika Terengganu FC (TFC) sedang melakukan persiapan untuk aksi separuh akhir Piala Malaysia, timbul pula khabar angin yang kurang enak didengar apabila jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim dikatakan berada dalam radar Kuala Lumpur bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Terengganu bakal berdepan tugas getir apabila melayan kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuala Terengganu, Sabtu ini dan spekulasi yang tersebar di media sosial itu turut menimbulkan persoalan adakah ia sengaja dicipta untuk mengganggu fokus Irfan dan skuad Penyu.
Pengurus Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Hassan bagaimanapun menafikan khabar angin berkenaan dan mengakui pihaknya belum ada perbincangan lanjut mengenai perancangan skuad City Boys bagi mengharungi musim depan.
“Setakat ini belum ada perancangan rasmi mengenai pasukan untuk musim depan. Kami masih menunggu laporan prestasi keseluruhan pasukan musim ini termasuk jurulatih dan pemain.
“Malah, nasib Fabio Maciel (jurulatih) juga belum diputuskan walaupun kontrak dia akan berakhir hujung tahun ini.
“Segala keputusan itu hanya boleh diputuskan pada mesyuarat pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA). Jadi, jika ada apa-apa nanti kami akan maklumkan,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.
Kuala Lumpur dilihat bakal mencari jurulatih baharu bagi saingan musim depan selepas merehatkan Maciel pada Ogos lalu yang menyaksikan tugas mengendalikan pasukan diambil alih pembantunya Chong Yee Fatt. 
Irfan antara jurulatih yang memiliki nama besar dalam kancah Liga M dan sudah membimbing Terengganu sejak musim lalu.
TFC perlu mendapatkan bekalan gol yang selesa, Sabtu ini sebelum mengharungi aksi separuh akhir kedua yang lebih getir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 20 Oktober.  

Ulasan