KESETIAAN: HASIL CAMPURAN PERASAAN DUKA, KECEWA, SAKIT HATI DAN SUKA

KESETIAAN: HASIL CAMPURAN PERASAAN DUKA, KECEWA, SAKIT HATI DAN SUKA
Kesetiaan. Merupakan salah satu tiang yang menyokong keunggulan empayar kelab kecil ini. Dengan kesetiaan, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus teguh berdiri.
Duka, kecewa, sakit hati dan suka antara perasaan yang bercampur baur yang telah kita rasai sejak kewujudan JDT. Dengan campuran perasaan itu juga kesetiaan kita seringkali diuji. Namun akhirnya, ujian itu telah membuatkan kesetiaan kita menjadi semakin kuat menyokong tanpa prejudis.
1. PERASAAN DUKACITA
Perasaan ini akan kerap kita rasai, kadangkala kita berduka setiap kali musim baru tiba. Perasaan yang tidak dapat dielakkan. Berduka atas kehilangan pemain yang disayangi, berduka atas kehilangan jurulatih yang disanjungi atau apa saja yang dahulu kita miliki akhirnya hilang dari genggaman. Fasa ini menjadikan jiwa seseorang itu kuat sekiranya dapat mengatasi perasaan ini. Dengan kuatnya jiwa maka sesorang itu pasti menjadi penyokong yang sejati.
2. PERASAAN KECEWA
Perasaan ini juga kerap bermain di dalam diri penyokong. Rasa kecewa atas apa sahaja kekalahan, prestasi pemain, terkandas dari sesuatu kejohanan atau kegagalan mengekalkan sesuatu kejuaraan akan menjadi peneman setia yang tidak akan berpisah. Perasaan ini tidak dapat dinyahaktifkan dalam diri, namun boleh ditukarkan menjadi satu ketenangan bila dilihat dari perspektif positif.
3. PERASAAN SAKIT HATI
Apabila kita mula menaiki tangga demi tangga dalam menuju kejayaan, kita pasti akan dihimpit dengan tomahan, kejian, sindiran juga cacian. Maka melalui fasa ini, hanya yang cekal hati mampu menepis dan mengabaikan segala perkara tersebut. Logiknya, akan hadir sekelumit rasa sakit hati dengan apa yang dilemparkan, namun jangan biarkan ia menjadi kudis di dalam hati. Kita sambut segala yang dilemparkan dan jadikan ia sebagai multivitamin untuk kita membantu pasukan dalam perjalanan menggapai kejayaan.
4. PERASAAN SUKA
Setiap kejadian ada hikmah di sebaliknya, setiap usaha sudah tentu ada ganjarannya, setiap sikap tidak kenal erti mengalah pasti ada sejarah yang bakal dilakarnya. Perasaan ini akan menjadi penamat cerita. Perasaan suka ini akan sering kita kecapi bilamana kita sentiasa bersatu hati. Kepuasan maksima dalam menyambut kegemilangan apabila segala rintangan kita lalui bersama-sama.
Akhir kata, kesetiaan kita akan sempurna bila ada campuran rasa duka, kecewa, sakit hati dan suka yang sama-sama kita rasai. Jadikan perasaan itu sebagai memorabilia dalam perjalanan sokongan kita kepada Harimau Selatan.
Bersama-sama kita kuatkan kesetiaan dalam menyokong malah berusaha bersama-sama menggapai kejayaan demi kejayaan bila mana sebelum ini orang di sekeliling mengatakan kita tidak boleh lakukan. Kita kuatkan ikatan, jadikan ia satu ikatan yang tidak akan terlerai. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan