KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM SENTIASA MELETAKKAN DISIPLIN SEBAGAI ASAS UTAMA BAGI SETIAP PEMAIN

KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM SENTIASA MELETAKKAN DISIPLIN SEBAGAI ASAS UTAMA BAGI SETIAP PEMAIN
Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah sebuah kelab yang menekankan aspek disiplin bagi setiap individu. Aspek berkenaan amat perlu dalam memastikan pemain senior dan muda mampu mengekalkan atau menjadi pemain berkualiti selain menyerlah pada setiap peringkat yang disertai.
Disiplin bermaksud kepatuhan, kesetiaan dan ketaatan kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh sesuatu organisasi. Disiplin amat penting bagi setiap pemain bola sepak. Dengan adanya disiplin, pemikiran dan kelakuan boleh dikawal supaya sentiasa patuh kepada peraturan, rutin harian dan tanggungjawab sebagai pemain untuk sesebuah pasukan yang diwakili.
1. DISIPLIN DIRI SUPAYA SENTIASA MERENDAH DIRI
Merendah diri adalah sesuatu perkara yang perlu ada di dalam setiap jiwa pemain bola sepak. Dengan sikap yang sentiasa merendah diri membuat pemain itu sentiasa terbuka untuk mendengar teguran dan arahan dari pengurusan, jurulatih, kapten pasukan dan rakan sepasukan. Dengan sikap merendah diri juga, sifat mementingkan diri sendiri dapat dielakkan. Kerjasama satu pasukan menjadi kuat. Dengan sifat ini juga, prestasi sesuatu pemain itu sentiasa akan meningkat dari hari ke hari.
2. DISIPLIN SUPAYA SENTIASA FOKUS
Fokus juga merupakan kunci untuk pemain terus mencapai peningkatan prestasi. Fokus terbahagi kepada dua iaitu fokus fizikal dan fokus mental, Fokus fizikal bermaksud, pemain perlu memastikan tubuh badan sentiasa mengamalkan aktiviti yang sihat dalam menjaga stamina dan kesihatan, manakala fokus mental bermaksud pemain perlu sentiasa menerapkan setiap arahan yang diberikan oleh jurulatih dan mengetepikan sebarang masalah peribadi. Fokus mental juga boleh menjadikan seseorang pemain itu sentiasa dapat mengawal perasaan sepanjang perlawanan tanpa tekanan. Dengan adanya disiplin supaya sentiasa fokus, pemain akan sentiasa konsisten dalam setiap aksi.
3. DISIPLIN DALAM MENGHORMATI PENGURUSAN, JURULATIH DAN RAKAN SEPASUKAN
Sikap hormat menghormati antara satu sama lain adalah satu sikap yang boleh mencetuskan keadaan harmoni dalam sesebuah pasukan atau kelab. Dengan keharmonian, pasukan atau kelab itu akan menjadi sebuah keluarga yang memerlukan antara satu sama lain. Di dalam Kelab Bola sepak Johor Darul Ta’zim, perkara ini menjadi pendorong utama kejayaan. Tanpa disiplin dalam menghormati batas-batas dalam sesebuah pasukan, seseorang pemain itu akan menjadikan suasana pasukan atau kelab itu huru hara dan terumbang ambing, malahan boleh menyebabkan kejatuhan moral.
4. DISIPLIN DALAM MENJAGA PEMAKANAN DAN KESIHATAN
Prestasi dan stamina pemain adalah berkait rapat dengan disiplin dalam penjagaan makanan. Makanan yang kaya dengan zat ataupun kaya dengan nutrisi adalah sangat penting untuk para pemain. Pengambilan nutrisi yang betul akan meningkatkan keupayaan. Merokok atau tidak menjaga waktu tidur adalah punca utama menyebabkan seseorang pemain itu kekurangan stamina.
5. DISIPLIN DALAM MENGHARGAI MASA
Akhir sekali, disiplin dalam menghargai masa adalah disiplin yang perlu ada dalam prinsip setiap pemain bola sepak. Sentiasa komited terhadap masa latihan adalah perkara asas yang telah di terapkan dari peringkat akar umbi. Pemain yang gagal menghargai masa, akan menjadikan mereka seorang pemain bola sepak yang gagal segalanya. Di JDT setiap pemain perlu menghargai dan menepati setiap masa yang telah dijadualkan.
Kesimpulannya, untuk menjadi pemain bola sepak berjaya dan berkebolehan tidak hanya berkenaan corak permainan atau kemahiran yang tinggi, tetapi juga berkenaan dengan aspek displin. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan