“Maafkan kami,” luah pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa selepas menyaksikan pasukannya gagal mara ke final Piala Malaysia 2018 setelah kalah dengan keputusan agregat 2-3 kepada Terengganu FC I (TFC I) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.
Figueroa berkata, para pemainnya sudah beraksi dengan sebaik mungkin untuk meraih lebih banyak gol bagi memastikan mereka dapat mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia.
Bagaimanapun jelasnya, nasib tidak menyebelahi mereka dan beliau akur dengan kehebatan skuad Penyu yang beraksi lebih baik untuk mara ke pentas final musim ini.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada bos kami (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana banyak memberi sokongan dan tidak lupa para penyokong kerana tidak putus-putus beri sokongan.
“Kami minta maaf, kami sudah bermain dengan baik, namun nasib bukan milik kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia.
Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan terlebih dulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Fernando Andres pada minit ke-40 dan gol kedua menerusi rembatan kencang Gonzalo Gabriel minit ke-61.
Dua gol TFC I pula dihadiahkan oleh ketua pasukan TFC I, Tchetche Hermann Brice masing-masing pada minit ke-68 dan 90.
Figueroa berkata, dia akan memberi fokus kepada latihan pada tahun depan berikutan JDT bakal beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.
Ulasan
Catat Ulasan