JDT Tidak Kebal Di Larkin - Irfan Bakti

Walaupun Irfan Bakti mempunyai satu rekod yang baik di Larkin semasa mengemudi Felda United, namun ianya tidak boleh sentiasa baik.

Ikuti berita dari Sinar Harian :

Misi menundukkan penyandang juara Piala Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan separuh akhir kedua di Larkin Sabtu ini bukan satu perkara mustahil kerana Harimau Selatan itu bukan 'kebal' sepenuhnya.

Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim berkata, walaupun beliau mengiktiraf JDT pasukan terkuat saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini namun mereka masih boleh ditewaskan dengan strategi dan taktikal permainan yang betul.



"Kelebihan satu gol ini sebenarnya besar dan juga kecil. Begitu juga dengan 90 minit yang berlangsung itu juga lama dan tidak lama. Jadi pemain harus mempunyai disiplin diri yang tinggi di Larkin nanti untuk kita berjaya melangkah ke perlawanan akhir nanti insya-ALLAH.

"Peluang sekarang adalah 50-50 kerana kelebihan JDT bermain di 'rumah' sendiri sementara TFC mempunyai kelebihan satu gol," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, di sini.

TFC menumpaskan JDT 1-0 pada pusingan pertama separuh akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menerusi jaringan penyerang Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-78.

Mengenai persediaan mental pemain untuk menghadapi tekanan daripada penyokong Harimau Selatan itu nanti, Irfan berkata perkara itu tidak mendatangkan masalah kerana barisan pemainnya berpengalaman dan sudah lali dengan situasi tersebut.

"Dua perlawanan terakhir di tempat kita dengan begitu ramai penyokong saya rasa sudah tidak jadi masalah kepada pemain, lagipun saya sudah maklum kepada mereka supaya tumpukan di dalam padang kerana sudah pasti Larkin akan dipenuhi penyokong JDT.

"Dengan pengalaman yang ada pada pemain seperti Igor Zonjic, Lee Tuck dan Kipre Tchetche ia bukan masalah besar kerana pemain ini akan bertindak menasihati pemain lain," katanya.

Beliau berkata, tumpuan TFC menjelang pertemuan itu nanti ialah memperbaiki kelemahan di beberapa bahagian seperti jentera pertahanan memandangkan JDT bukanlah calang-calang pasukan.

Aksi pemanas badan bertemu kelab dari India, East Bengal pada Sabtu lalu yang berkesudahan seri 0-0 turut memberi input penting kepada TFC mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pada pemain. 

Ulasan