JDT tekad padam kelebihan Penyu


KUALA TERENGGANU: Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT) Luciano Figueroa berkeyakinan anak buahnya mampu bangkit dalam aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di tempat sendiri pada 20 Oktober ini.
Selain itu bekas pemain import skuad Harimau Selatan itu juga percaya skuadnya mampu memperbaiki kesilapan yang dilakukan dalam aksi pertama itu.
“Saya yakin kami mampu bangkit dan memenangi perlawanan itu (separuh akhir kedua) di Johor nanti kerana pemain kami beraksi dengan baik dalam perlawanan malam ini (semalam).
“Peluang yang kami perolehi untuk menghasilkan jaringan juga lebih banyak berbanding lawan, tapi skuad lawan lebih bernasib baik, situasi ini biasa berlaku dalam sukan bola sepak,” kata Fegueroa.

Ketika ditanya adakah skuad JDT mempunyai masalah dalam aksi itu, beliau menafikannya sebaliknya mengakui skuad TFC lebih baik mengekang asakan skuadnya.
Pada perlawanan itu pemain gantian skuad Penyu kelahiran Pahang, Abdul Malik Mat Ariff muncul wira pasukannya apabila berjaya meledak gol kemenangan 1-0 pada minit ke-78.
Mengulas lanjut, Fegueroa berkata beliau akan menggandakan latihan dengan baki 14 hari lagi sebelum aksi kedua bagi memastikan tiket ke final menjadi milik pasukannya.

Ulasan