JDT Sedia Hadapi Rintangan Terengganu - Astro Arena
Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah bersedia menjadikan sebuah lagi pasukan Pantai Timur, Terengganu, mangsa seterusnya dalam misi mempertahankan Piala Malaysia.
Impian itu bernyala selepas mereka menyingkirkan Pahang malam tadi untuk ke separuh akhir.
Dua jaringan daripada Safawi Rasid memadai untuk JDT mengatasi Pahang dan seterusnya bakal berentap dengan Terengganu.
Terengganu pada Jumaat lepas turut melalui pertembungan epik ketika menentang Felda United untuk ke separuh akhir.
Meskipun akur dengan kualiti Terengganu, JDT berpandangan adalah lebih wajar menghormati lawan berbanding menyimpan rasa gentar.
"Terengganu memiliki pemain mantap, mereka berbahaya tetapi mereka juga harus memikirkan keupayaan kami.
"Malam ini (tadi), kami seharusnya mampu meledak empat hingga lima jaringan.
"Kami terlepas beberapa peluang terhidang tetapi inilah bola sepak.
"Kami menyumbat dua gol untuk memenangi perlawanan.
"Oleh itu, kami perlu mencari jalan apa yang boleh dilakukan bagi perlawanan selepas ini sambil menerapkan corak permainan kami," kata pengurus JDT, Luciano Figueroa.
Dalam pada itu, Figueroa dan barisan kejurulatihan JDT pasti mengharapkan ayam tambatan, Safawi, untuk meneruskan sentuhan berbisa di depan gawang lawan.
"Bagi saya, dia adalah pemain terbaik di Malaysia.
"Dia seorang pemain menakjubkan, terbaik dan dia harus fikir bahawa mampu menghasilkan aksi yang lebih baik.
"Dia juga perlu percaya bahawa dia merupakan pemain handalan," jelasnya.
Sumber : Astro Arena
Ulasan
Catat Ulasan