Pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, mengingatkan skuad kendaliannya untuk tidak memandang mudah lawan, Terengganu FC (TFC), dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 biarpun rekod memihak kepada skuad Harimau Selatan itu.
Saranan itu dibuat berdasarkan kali terakhir JDT bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah pada 10 Mac lalu, mereka terpaksa bermain bermati-matian sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan pertahanan, Marcos Antonio.
Biarpun rekod pertemuan dalam saingan Piala Malaysia sejak 2014 menyaksikan JDT tidak pernah tewas kepada TFC, ia bukan tiket untuk skuad Harimau Selatan itu mendabik dada dalam perlawanan esok.
"Kami menyedari ia merupakan perlawanan yang berbeza. TFC memiliki barisan pemain yang berkualiti dan berharap kemenangan berjaya diraih jika mengulangi persembahan ketika mengatasi Pahang," kata Figueroa.
Perkhabaran terbaru menyaksikan kapten pasukan, Harris Harun, mengikat kontrak selama dua tahun lagi bersama JDT sehingga 2021.
Haris, pemain import dari Singapura yang disunting JDT pada 2014 daripada pasukan LionsXII, masih mempunyai baki kontrak setahun lagi hingga 2019.
Dengan termeterainya kontrak lanjutan, dia semakin fokus untuk membantu JDT dalam misi mempertahankan Piala Malaysia yang dimenanginya musim lalu.
"Saya sangat gembira dengan projek JDT sejak 2014. Kami telah meraih banyak gelaran dan JDT banyak membantu saya. Masih lagi memiliki ruang yang boleh diperbaiki dan saya mahu terus membantu meningkatkan lagi mutu permainan," kata Harris.
Ulasan
Catat Ulasan