KUALA LUMPUR: Juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata ‘tidak kedekut’ untuk berbelanja bagi memastikan pasukan itu sentiasa konsisten untuk memburu lebih banyak kejayaan.
Menerusi satu kenyataan di laman Johor Southern Tigers, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengakui skuad Harimau Selatan itu sedia berbelanja besar untuk program sains sukan khusus supaya pemain mereka dapat meningkatkan mutu persembahan ke tahap yang lebih baik.
“JDT sudah membuat keputusan dengan membelanjakan RM1.4 juta untuk program sains sukan bagi mendapatkan yang terbaik dari Eropah dan Asia sebagai usaha membantu pemain dalam pelbagai aspek.
“Ini termasuk dengan kaedah latihan fizikal yang berbeza, menggunakan peralatan yang berbeza, penjagaan pemakanan yang lebih baik serta bantuan psikologi untuk membantu mereka dari aspek mental.
“Inilah pelaburan yang akan kami lakukan menjelang Disember ini,” kata Prest, hari ini.
Penggunaan sains sukan dalam bola sepak bukanlah satu perkara yang asing kerana program ini sudah digunakan secara meluas apabila menjadi elemen penting buat setiap pasukan yang beraksi.
Menerusi kajian lebih mendalam terhadap reaksi tubuh badan kepada beberapa rangsangan yang diberikan, fokus tertumpu kepada bagaimana ia dapat membantu pemain mendapatkan prestasi yang terbaik.
Sebagai rekod, musim 2018 menyaksikan JDT terus mendominasi kancah liga tempatan apabila merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelima-lima berturut-turut.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan mereka mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang akan beraksi dalam saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan.
Sebelum ini, JDT sudah menggegar benua Asia apabila mengungguli Piala AFC 2015 dengan menundukkan pasukan dari Tajiskitan, Istikol 1-0.
Ulasan
Catat Ulasan