JDT, Perak Pilihan Ke Final Piala Malaysia 2018 - Zainal Abidin Hassan

Juara tujuh kali, Perak, dan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), dilihat mempunyai kelebihan untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini.

Bekas pengendali pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, menyifatkan kedua-dua pasukan mampu melangkah ke final walaupun berdepan situasi yang berbeza.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Perak mengatasi Sabah 5-0 di laman sendiri manakala Terengganu FC (TFC) pula menang tipis 1-0 ke atas JDT, juga di laman sendiri.


"Aksi timbal balik di antara JDT dan TFC adalah satu perlawanan yang dijangka sengit, namun saya lihat JDT ada sedikit kelebihan kerana mereka beraksi sebagai satu unit yang mantap selain kebanyakan pemain mereka mempunyai skil individu yang terbaik di negara ini ," katanya hari ini.

Nada sama turut disuarakan pengendali MISC-MIFA, K. Devan, yang melihat JDT dan Perak mempunyai kelebihan untuk mara ke final.

"Perak berpeluang cerah ke final berdasarkan kelebihan agregat yang mereka miliki manakala JDT mempunyai peluang ke final berdasarkan statistik cemerlang mereka dalam saingan awal Piala Malaysia," kata Devan yang pernah membimbing beberapa pasukan tempatan seperti Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengendali pasukan PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, sebaliknya berpandangan Terengganu FC dan Perak menjadi pasukan pilihan untuk mara ke final Piala Malaysia berdasarkan prestasi cemerlang yang dilakar kedua-dua pasukan berkenaan sepanjang pusingan awal.

Beliau, bagaimanapun, mengakui kehadiran penyokong yang ramai dan rekod cemerlang di laman sendiri menjadi kelebihan kepada JDT untuk memberikan saingan sengit kepada TFC.

"Sebagaimana yang kita tahu, rekod JDT di laman sendiri begitu cemerlang musim ini, namun saya lihat keazaman dan kesungguhan yang dimiliki pemain TFC menjadi kelebihan untuk mereka mara ke final setelah kali terakhir pada 2011," kata Abu Bakar yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan.


Sumber : BERNAMA

Ulasan