'JDT lebih tertekan''


PEMAIN paling berpengaruh Terengganu FC (TFC), Lee Tuck yakin mereka tetap mempunyai peluang untuk mencipta kejutan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir saingan Piala Malaysia.
Pemain kelahiran England yang lebih dikenali sebagai 'Rooney Ganu' itu juga mahu sekali lagi menjadi watak penting TFC selepas berjaya mengetepikan FELDA United menerusi agregat 6-4 dalam aksi suku akhir.
"Saya menyaksikan kedua-dua perlawanan JDT menentang Pahang, jadi saya telah membuat persediaan rapi untuk pertemuan itu nanti kerana semua tahu ia akan menjadikan pertembungan hebat kerana mereka adalah pasukan pilihan.
"Namun, saya tetap gembira bertemu JDT dan bukannya Pahang di separuh akhir, kerana sebagai pasukan berstatus pilihan, pastinya mereka akan menghadapi tekanan untuk menang.
"Sebagai satu pasukan, saya semakin yakin dan percaya ia akan menjadi perlawanan yang sangat istimewa, malah saya jangka kedua-dua pasukan akan memberikan aksi terbaik untuk melangkah ke final,” kata Tuck.
Pada suku akhir kedua Jumaat lalu, Tuck layak dilabel pencetus kebangkitan apabila meledak jaringan pertama TFC selepas ketinggalan 0-2, dan akhirnya berjaya mencatat kemenangan 4-3 dalam aksi yang penuh dramatik itu.
Tegasnya, kedua-dua pasukan mempunyai ‘pemain ke-12’ yang bakal menjadi pendorong semangat buat pasukan masing-masing untuk mencipta kejayaan.
“Kami kena gunakan kelebihan aksi di laman sendiri. Begitu juga JDT apabila beraksi di Larkin. Jadi, kedua-dua pasukan ada kelebihan tersendiri, semuanya bergantung kepada persembahan di padang,” katanya.

Ulasan