JDT II BUKAN PASUKAN BIASA-BIASA! JDTII Pasukan ini pernah menjadi bahan jenaka tanah air kerana menduduki kedudukan tercorot&sekadar meraih 4 mata susulan 4 keputusan seri dan 5 kekalahan yang dilakar selama 9 kali perlawanan berjalan.

JDT II BUKAN PASUKAN BIASA-BIASA!
JDT II.
Pasukan ini pernah menjadi bahan jenaka tanah air kerana menduduki kedudukan tercorot dan sekadar meraih empat mata susulan empat keputusan seri dan lima kekalahan yang dilakar selama sembilan kali perlawanan berjalan.
Pelbagai persepsi penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air mempertikaikan kewujudan JDT II. Mereka mempersoalkan malah memperkecilkan kemampuan pasukan ini untuk terus bersaing pada musim 2018. Tidak kurang segelintir pengkritik bola sepak yang kononnya cerdik telah meramalkan pasukan ini pasti tersingkir ke Piala FAM musim hadapan.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sekitar bulan Mei 2018 dengan tegas telah berkata, bahawa beliau amat optimis terhadap pasukan ini dalam apa sekalipun keadaan. Beliau sedaya upaya meyakinkan seluruh penyokong bola sepak Johor dengan menjanjikan pasukan itu pasti mampu bangkit daripada situasi tertekan.
JDT II tidak akan dibiar berterusan menerima nasib buruk. Beliau dengan bersahaja mengatakan JDT ll bakal menamatkan saingan musim ini sekurang-kurangnya selaku enam pasukan terbaik dan pasti keluar dari pergelutan prestasi.
"Kami tidak peduli mengenai pandangan orang lain terhadap pasukan ini yang dikatakan pasukan tercorot pada masa ini kerana pasukan ini akan mendapat suntikan 'tonik' baru dan kita akan dapat lihat di penghujung musim ini di mana pasukan ini akan berada," - Alistair Edwards
"Langkah penambahbaikan"
Dengan itu beberapa langkah penambahbaikan yang dirancang telah berjaya memperkasakan skuad JDT II.
Hasilnya,
Setelah Liga Premier musim 2018 menutup tirai, JDT ll dengan rasminya berjaya mencapai sasaran, malah berkedudukan lebih baik dari sangkaan. Pendakian yang menakjubkan pasukan ini daripada bergelut dari zon penyingkiran Liga Premier hingga akhirnya menduduki tangga keempat pada musim ini. Perkara ini telah membuka mata masyarakat bahawa JDT II adalah pasukan yang berwajah baru dan bukan sekadar pasukan biasa-biasa.
JDT II telah berjaya mengumpul 30 mata hasil dari 8 kemenangan, 6 seri dan 6 kekalahan.
Tahukah anda?
Pada pusingan kedua, pendahulu Liga Premier hanya mengutip 17 mata tambahan, sedangkan JDT II hanya memerlukan tempoh pusingan kedua untuk mengutip 26 mata tambahan.
"Challenge Cup"
Challenge Cup diperkenalkan buat kali pertama di mana JDT II telah diletakkan dalam kumpulan B bersama pasukan ATM, UiTM dan Pulau Pinang. JDT II berjaya menjuarai peringkat kumpulan hasil dari 4 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan. Dengan kutipan 13 mata secara keseluruhan, pasukan ini layak penuh bergaya ke peringkat separuh akhir. JDT II telah diputuskan untuk bertemu UKM FC selaku naib juara kumpulan A.
Perlawanan separuh akhir pertama telah berlangsung di Stadium KLFA Cheras dan menyaksikan JDT II seri 1-1 dengan pasukan tuan rumah UKM FC. Dengan keputusan tersebut, JDT II dilihat mempunyai kelebihan. Berbekalkan satu gol yang diperolehi di tempat lawan dan status sebagai tuan rumah.
Namun rezeki tidak menyebelahi pasukan hebat ini, ketika perlawanan separuh akhir kedua berlangsung di Stadium MPPG, JDT II terpaksa akur apabila tunduk 0-1 (Agregat 1-2) kepada UKM FC.
"Berjiwa besar"
Akhir kata,
Ingat, kita tidak pernah kalah, kita cuma belajar daripada pengalaman! Hidup Johor!- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Ucapan sekalung tahniah kepada ketua jurulatih Ervin Boban, barisan pengurusan dan pemain JDT II kerana telah berjaya mara sejauh ini. Walaupun berstatus pasukan berbajet rendah dan hanya memiliki dua orang pemain import, mereka telah membuktikan bahawa penampilan JDT II kali ini boleh dibanggakan dan harus dijulang.
Taniah kerana berjaya menjahit mulut pengkritik satu Malaya! JDT II bukan biasa-biasa! JDT II memang luar biasa! Luaskan Kuasamu Johor!
Sumber artikel: Media JST

Ulasan