Langkau ke kandungan utama

JDT guna khidmat pakar sains sukan luar negara tahun depan

Tunku Ismail Sultan Ibrahim - Gambar fail

Tunku Ismail Sultan Ibrahim - Gambar fail
JOHOR BAHRU - Juara Liga Super lima kali Johor Darul Ta'zim (JDT) memperuntukkan RM2 juta untuk meningkatkan bahagian sains sukan pasukan itu tahun depan.
Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, dana itu akan digunakan untuk kebaikan nutrisi pemain, aspek psikologi dari segi mental dan fizikal terdiri daripada kaedah latihan dan peralatan baharu.
"Kami akan berbelanja banyak dalam sains sukan untuk memberi pendedahan kepada pemain kami berumur dari 12 tahun hingga skuad utama kami. Pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi," titahnya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa eksekutif Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor bertitah, JDT telah mengenal pasti pakar pasukan terbaik dari Eropah dan Asia untuk tugas itu.
Baginda mengesahkan bahawa JDT sekali lagi memilih Thailand untuk persediaan pramusim bagi menguji pemain menentang Buriram United, Muangthong United dan Bangkok United pada awal Januari 2019, untuk menjadikan JDT pasukan disegani ketika beraksi pada Kejohanan Juara-juara Asia (ACL) tahun depan.
Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata Bangkok akan menjadi lokasi  terbaik kerana waktu perjalanan melalui udara hanya kira-kira dua jam, selain kos rendah dan tahap kompetitif tinggi.
"Kenapa kita perlu berbelanja besar untuk berjalan jauh? Sebagai satu pasukan dari Malaysia, itu (Bangkok) adalah tempat terbaik. Cuaca dan keadaan adalah sama, Malah, pemain import baharu kami, jika ada, boleh menyesuaikan diri mereka dengan mudah ketika pramusim.
"Kami juga meminta Manchester City untuk memberi pendedahan kepada (kaedah) latihan kepada jurulatih kami di sini. Semasa saya di sana, kami mendapati banyak perkara yang kita tidak lakukan. Mereka telah melakukannya. Jadi, saya harap kami boleh belajar sebanyak yang mungkin," titah baginda.
Tunku Ismail juga menyertai pasukan pengurusan JDT dan beberapa pemain dalam perlawanan persahabatan menentang SAM FC di padang Pusat Latihan Seri Gelam di sini malam tadi.
"Beta gembira bertemu wartawan sukan kerana di Johor, kami meminati banyak sukan. Kami ada program bola sepak, ragbi, dan sukan lain. Ini melibatkan banyak anak muda dan mereka sangat penting untuk negara," katanya. - Bernama

Ulasan