Jaga jaga trio ni JDT...


KUALA LUMPUR: Jika ada perkara perlu dirisaukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC), ia adalah kemampuan jentera serangan skuad Penyu itu.
Jentera serangan pasukan itu boleh dianggap ‘berbisa’ selepas tiga pemain mereka mengungguli carta penjaring terbanyak saingan Piala Malaysia selepas berakhirnya aksi suku akhir, minggu lalu.
Tiga pemain terbabit iaitu Lee Tuck, Tchetche Kipre dan Ashari Shamsudin meledak 16 daripada 24 gol yang dijaringkan TFC dalam kempen Piala Malaysia setakat ini sekali gus memberi petanda mereka bersedia untuk terus merobek gawang skuad Harimau Selatan.
Lee Tuck muncul penjaring kedua terbanyak dengan tujuh gol di belakang penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula (8) dan Kipre (5) manakala Ashari (4).
Berikutan Kuala Lumpur sudahpun tersingkir daripada saingan, sudah tentu Lee Tuck ataupun Kipre mahupun Ashari mampu memintas jumlah jaringan penyerang Brazil itu.
Bagaimanapun, kemampuan JDT pada kempen Piala Malaysia juga tidak boleh diperkecilkan meskipun mereka bermula perlahan di awal saingan sehingga perlu menunggu perlawanan terakhir untuk layak ke suku akhir.
Mereka tetap memiliki penggempur berbahaya yang menyaksikan gandingan Fernando Marquez (4), Safawi Rasid (4) dan Gonzalo Cabrera (3) sudah menghimpun 11 gol antara mereka.
Safawi yang meledak dua gol untuk menyingkirkan Pahang pada aksi suku akhir, kelibat anak kelahiran Dungun itu sudah tentu bakal dikawal ketat meskipun bertemu negeri kelahirannya.
Sabah pula akan terus menagih kemampuan penyerang Serbia, Rodoljub Paunovic yang setakat ini sudah meledak tiga gol manakal Perak meletakkan harapan kepada Wander Luiz dan Gilmar yang masing-masing meledak empat gol untuk merebut tiket ke final.
Bagi aksi separuh akhir pertama, TFC terlebih dahulu melayan kunjungan penyandang juara itu di Stadium Ismail Nasiruddin Shah malam esok sebelum aksi kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 20 Oktober.
Sabah pula berkunjung ke Stadium Perak untuk aksi separuh akhir pertama pada Ahad ini dengan aksi kedua di Stadium Likas, 21 Oktober.

Ulasan