Langkau ke kandungan utama

Irfan puji wira Penyu

PEMAIN Terengganu melambai kepada penyokong sebagai tanda terima

PEMAIN Terengganu melambai kepada penyokong sebagai tanda terima kasih selepas menewaskan JDT dengan agregat 3-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Johor Bahru malam semalam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 21 Okt. - Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan anak buahnya ketika mencipta kebangkitan menakjubkan untuk menyingkirkan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia malam tadi.
Dua gol menerusi ketua pasukan Tchetche Kipre pada babak kedua memastikan skuad Penyu bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2, sekali gus mara ke perlawanan akhir dengan agregat 3-2. TFC menang 1-0 dalam separuh akhir pertama di Kuala Terengganu pada 6 Oktober lalu.
Harimau Selatan seperti dijangka memulakan permainan dengan rentak agresif dan dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun kelekaan di barisan pertahanan menyebabkan kubu tuan rumah roboh meskipun TFC hanya berjaya melakukan beberapa serangan.
Menurut Irfan, beraksi menentang JDT di laman lawan dan disaksikan lebih 20,000 penonton bukan satu perkara yang mudah, namun bukanlah sesuatu yang mustahil untuk meraih kemenangan.
“Saya pesan kepada pemain-pemain saya, awak ada peluang untuk meledakkan gol pada separuh masa kedua kenapa tidak kita jelmakan untuk dapatkan gol, dan hasilnya kami mendapat dua gol.
“Itu yang pertama, dan yang keduanya kami sentiasa memenuhi kawasan tengah kerana kita tahu JDT dengan hantaran-hantaran bola serta kombinasi para pemain amat berbahaya terutamanya pemain nombor 11 (Gonzalo Gabriel),” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.
Irfan mengakui terkejut apabila skuad bimbingan Benjamin Mora itu tidak menurunkan Amirul Hadi Zainal dalam perlawanan tersebut, justeru beliau menggunakan kesempatan itu untuk memperkukuhkan posisi tengah.
“Nasib baik pemain nombor lima (Amirul Hadi) tidak bermain hari ini dan saya pun terkejut, mereka meletakkan dua penyerang di hadapan iaitu pemain nombor lapan (Fernando Andres) dan nombor 28 (Muhammad Syafiq Ahmad),” katanya.
Dalam pada itu, Irfan turut memuji persembahan yang ditunjukkan penjaga gol Mohd. Suffian Rahman yang banyak menyelamatkan TFC.
“Suffian merupakan pemain paling tua di dalam padang, kehadirannya pada mulanya dalam TFC tidak disukai beberapa pemain dan penyokong tetapi saya tahu dia sejak 25 tahun dahulu lagi.
“Penjaga gol ini kalau umurnya 35 ke 40 tahun itu perkara biasa, saya meletakkan dia dalam kesebelasan utama dan dia menunjukkan prestasinya dengan baik, kesilapan adalah kesilapan tetapi dia telah beraksi dengan baik pada malam ini,” katanya.

Ulasan