Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui beliau kini sedang dipancing oleh 3 pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2019.
Namun jurulatih berpengalaman yang berusia 67 tahun ini tidak menganggap lamaran itu akan menyebabkan fokusnya terganggu menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia, bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.
Bercakap kepada Berita Harian, beliau mengesahkan memang ada beberapa pasukan yang cuba menawarkan kontrak kepadanya tetapi enggan mendedahkan nama pasukan tersebut.
“Setakat ini sudah ada tiga pasukan menawarkan kontrak kepada saya untuk musim depan, tetapi lamaran itu tidak sesekali mengganggu persiapan saya kerana perkara itu sudah menjadi asam garam bagi jurulatih.
“Bagaimanapun saya tidak memikirkan isu itu kerana fokus utama ialah mahu membawa TFC mara ke pentas akhir dan menjuarai piala berprestij itu selepas gagal mara ke final dalam saingan FA musim ini,” katanya.
Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) musim ini memberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Irfan Bakti untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala ke Terengganu.
Terengganu FC kini hanya selangkah lagi untuk menuju ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 setelah mendahului Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan aggregat 1-0 di separuh akhir pertama.
Kegagalan memenangi Piala Malaysia musim ini mungkin akan menyaksikan penghijrahan Irfan Bakti ke pasukan lain musim depan kerana gagal memenuhi salah satu KPI yang ditetapkan oleh PBSNT.
“Hanya tinggal satu lagi piala musim ini. Jadi, kami mengharapkan TFC mampu menjulang trofi berprestij itu kerana peluang buat skuad kami masih terbuka luas walaupun beraksi di tempat lawan,” kata Irfan Bakti.
Ulasan
Catat Ulasan