Langkau ke kandungan utama

Irfan akui beberapa pasukan buat tawaran

PEMAIN TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam untuk menghadapi
PEMAIN TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam untuk menghadapi JDT dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia esok. - UTUSAN/FARID JANUDIN
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Persiapan Terengganu FC (TFC) untuk menghadapi pilihan utama yang juga juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir Piala Malaysia tiba-tiba diselubungi khabar bahawa Irfan Bakti akan membimbing Kuala Lumpur musim depan.
Khabar itu tentunya sesuatu yang tidak perlu berlegar dalam kem TFC sekarang ketika mereka sedang menumpukan perhatian untuk berhadapan dengan pasukan terkuat di Malaysia Sabtu ini di Kuala Terengganu.
Mengulas mengenai khabar itu Irfan mengakui beberapa kelab menyatakan hasrat untuk menggunakan khidmatnya namun buat masa ini fokusnya adalah terhadap kempen Terengganu dalam Piala Malaysia.
“Ada beberapa tawaran kepada saya namun saya belum memikirkan masa depan saya,” katanya yang akan tamat kontrak dengan TFC pada penghujung musim ini.
Mengenai perlawanan dengan JDT, Irfan mengakui Harimau Selatan adalah pasukan yang kuat dan lengkap namun mengingatkan bahawa MIFA dan Pahang pernah mengalahkan juara bertahan itu dalam kempen liga musim ini.
“Saya harapkan pemain saya tidak terlalu menghormati JDT, dan tidak mustahil kami mampu mencipta kejutan.
“Bermain di laman sendiri seharusnya kami gunakan sebagai kelebihan kerana seperti dalam perlawanan suku akhir lalu (menentang Felda United), sokongan padu penonton telah memberi semangat kepada pemain. Saya mengharapkan penonton mengulangi sokongan mereka kepada pasukan.
“Pemain sudah cukup bersedia untuk berhadapan dengan JDT, dan saya gembira kerana kami tidak menghadapi masalah kecederaan tetapi perlu bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Penyokong skuad Penyu juga boleh menarik nafas lega apabila pengurus Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Hassan menafikan mereka telah menawarkan tempat untuk Irfan, malah menegaskan bahawa pihaknya belum membuat perancangan musim depan untuk skuad The City Boys.
“Setakat ini belum ada perbincangan mengenai perancangan pasukan untuk musim depan. Kami masih menunggu laporan prestasi keseluruhan pasukan musim ini termasuk jurulatih dan pemain. Nasib Fabio Maciel (jurulatih) juga belum diputuskan walaupun kontrak dia akan berakhir hujung tahun ini.
“Segala keputusan itu hanya boleh diputuskan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA). Sebarang maklumat baharu kita akan maklumkan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Prestasi yang tidak menentu dipamerkan pasukan Kuala Lumpur dalam kancah Liga Malaysia musim ini, menyaksikan Maciel direhatkan pada Ogos lalu dan tanggungjawab tersebut dipikul pembantunya Chong Yee Fatt.
Situasi itu menjadi bukti kukuh bahawa Kuala Lumpur bakal mendapatkan pengendali baharu dan Irfan antara jurulatih yang mempunyai reputasi besar dalam saingan liga tempatan.

Ulasan