'Final Terengganu-Sabah idaman saya'

KUALA LUMPUR: Pertembungan antara Terengganu dengan Sabah pada final Piala Malaysia 2018 menjadi impian jurulatih, Ahmad Yusof walaupun hakikatnya Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak dilihat mempunyai kelebihan untuk menempah slot itu.
Ahmad berkata, faktor inginkan kelainan menyebabkan beliau menongkah arus dengan memilih dua pasukan itu meskipun menyedari pertembungan JDT-Perak, jika berlaku, menjanjikan perlawanan lebih dramatik.
“Kita sedia maklum dengan kemampuan JDT. Sejak beberapa musim kebelakangan ini mereka mendominasi bola sepak negara. Jadi, jika mereka layak ke final sekali lagi, ia satu perkara biasa.
“Saya mahukan kelainan dan elemen kejutan pada Piala Malaysia kali ini. Untuk itu, saya ingin lihat Terengganu mengalahkan JDT pada separuh akhir dan mara ke final.
“Lagipun sudah lama Terengganu tidak beraksi pada final Piala Malaysia. Kali terakhir pada 2011, itu pun kalah kepada Negeri Sembilan,” ujar Ahmad yang pernah membimbing skuad Penyu pada 2015 sebelum disisihkan pada awal musim 2016.
Bekas pemain Pulau Pinang dan Pahang itu juga berharap Sabah dapat meneruskan fenomena yang mereka cipta pada Piala Malaysia musim ini hingga ke kemuncak pertandingan itu.
“Sabah pasukan underdog yang memeranjatkan banyak pihak kerana tiada siapa menduga mereka mampu melangkah sejauh ini.
“Saya sukakan kesungguhan yang mereka tunjukkan dan berharap mereka dapat meneruskannya pada separuh akhir dengan mengalahkan Perak,” katanya.

Ulasan