Pemain dan pasukan mana yang bermain tidak mahu menang. Tidak terkecuali bagi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), penyandang juara Piala Malaysia 2017. Mereka turun ke padang pada Sabtu, 06 Oktober ini inginkan kemenangan sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke perlawanan separuh akhir kedua di Larkin nanti.
Jika menang di Kuala Terengganu, maka kerja mereka tampak lebih mudah di Larkin nanti. Apa pun segala persiapan telah dilakukan oleh pengurus dan ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa bersama pembantunya Benjamin Mora sebelum bertolak ke Kuala Terengganu.
Figueroa boleh menarik nafas lega apabila sehingga kini tiada pemain yang dilanda kecederaan mahupun digantung perlawanan. Ini bermakna semua pemain sudah benar-benar bersedia ditambah pula resepi yang akan diterjemahkan nanti di atas padang.
JDT mara ke separuh akhir setelah berjaya menewaskan Pahang dengan agregat 3-1. Dalam perlawanan kedua, JDT menumbangkan Pahang 2-0 di Stadium Larkin pada 29 September 2018.
Berikut adalah kata-kata Luciano Figueroa hasil dari temuramah wartawan sukan Berta Harian bersama beliau.
“Memang kami mahu menang pada aksi separuh akhir pertama walaupun sedar berdepan kesukaran kerana beraksi di tempat lawan dan TFC juga memiliki pemain yang mantap dan berkualiti tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.
“TFC sudah pasti akan turun habis-habisan untuk menewaskan kami dan sudah tentu kami tidak rela perkara itu berlaku. Mereka sebaliknya harus risau dengan kekuatan JDT yang tampil dengan permainan berbeza bagi mencari kemenangan.
“Persiapan kami berjalan lancar dan tiada pemain yang mengalami kecederaan atau digantung. Ia memberi peluang untuk saya dan Benjamin Mora menyenaraikan kesebelasan terbaik berdepan anak buah Irfan Bakti (Abu Salim),” katanya.
“Kemenangan ke atas TFC pada saingan liga sudah menjadi lipatan sejarah. Kini cabaran lebih hebat kerana kami turun beraksi pada separuh akhir dan ia perlawanan kalah mati jadi kami harus fokus tanpa membuat kesilapan.
“Apa yang membimbangkan saya adalah keadaan padang di stadium itu yang akan menjejaskan rentak permainan JDT. Namun kami akan beri yang terbaik sepanjang 90 minit,” kata Figueroa.
Ulasan
Catat Ulasan