Habuan 'rahsia' nanti TFC




DR Ahmad Samsuri Mokhtar - Foto MOHD FADLI HAMZAH

KUALA TERENGGANU: Habuan ‘rahsia’ bakal menanti pemain Terengganu FC (TFC) jika pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim layak ke final Piala Malaysia musim ini.
Berita gembira itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sesudah melepaskan peserta pertandingan kuda lasak antarabangsa Piala Sultan Mizan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), di Lembah Bidong, Setiu petang tadi.
“Oleh kerana kami berdepan beberapa siri kemenangan dalam beberapa pasukan, hal itu (habuan) akan kami pertimbangkan tapi belum buat keputusan lagi sekiranya menjuarai piala itu.
“Sekiranya TFC masuk final saya akan minta Exco Sukan untuk membuat cadangan, tapi insya-Allah akan ada habuan menanti buat pemain,” kata Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar.
TFC yang memiliki modal satu gol hasil kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 6 Oktober lalu pasti menghadapi ujian getir menentang Johor skuad Harimau Selatan itu di laman mereka, Sabtu depan.
Ahmad Samsuri yakin skuad Penyu yang akan beraksi di tempat lawan mampu membuat kejutan untuk mara ke final bagi mengulangi pencapaian 2011.
“Saya berasa amat positif kami mampu untuk mencapai apa yang diharapkan di Johor Bahru nanti walaupun kami hanya menang tipis dan beraksi di gelanggang lawan.”

Ulasan