KUALA LUMPUR: Isu stadium yang kurang dibanjiri penonton pada aksi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini menarik perhatian Yakult (M) Sdn Bhd selaku penaja saingan berprestij itu.
Namun, situasi itu berubah ketika saingan memasuki peringkat suku akhir yang menyaksikan kehadiran penyokong mula meningkat, selepas mereka kembali memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
Jadi, Yakult Malaysia selaku penaja menerusi Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada mahukan penyokong supaya terus memeriahkan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia yang pastinya menjanjikan aksi menarik.
Terengganu FC (TFC) dijadual bertemu penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) sementara juara tujuh kali, Perak akan menentang naib juara tiga kali, Sabah.
“Saya menyeru semua peminat bola sepak tempatan untuk hadir bagi memenuhkan stadum bagi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
“Kehadiran penyokong di stadium pasti akan mewujudkan aura positif yang meningkatkan mutu permainan setiap pemain selain memberikan motivasi terbaik sekaligus meningkatkan kemeriahan liga.
“Ada pepatah Jepun yang menyatakan ‘penyokong sebenarnya yang membentuk seorang pemain’.
“Saya mengharapkan penyokong bola sepak akan terus memenuhi stadium untuk memberikan sokongan sepenuh hati kepada pasukan masing-masing,” kata Hamada.
Sebagai rekod, pembabitan Yakult dalam arena sukan di negara bukanlah perkara yang asing lagi kerana mereka adalah menjadi penaja rasmi bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Ulasan
Catat Ulasan