KUALA TERENGGANU: Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mengingatkan rakan sepasukan agar tidak mempedulikan reputasi Johor Darul Ta'zim (JDT), sebaliknya mempamerkan taring sebenar dalam aksi separuh akhir pertama, Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.
Penyerang kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu juga mahukan pemain TFC mempunyai semangat bagaikan pahlawan, sebagaimana ketika menunjukkan jalan keluar skuad FELDA United pada aksi suku akhir.
"Sebagai kapten, saya gembira kerana dapat mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak datang ke sini musim lalu, tetapi tugasan ini belum selesai kerana kami menyasarkan satu piala musim ini,” kata bekas pemain kelab Al-Suwaiq (Liga Oman).
"Saya yakin, jika aksi sama dipamerkan seperti suku akhir kedua itu (menentang FELDA United), dan ditambah sokongan padu peminat setia, kami mampu mengejutkan JDT biarpun skuad itu dibarisi ramai pemain terbaik," kata Tchetche.
Berdasarkan rekod, penyerang berusia 30 tahun itu yang bergandingan dengan bekas penyerang kebangsaan, Mohd Ashari Samsudin muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super musim ini dengan 14 gol.
Menjelang aksi malam esok, sudah tentu pemain yang dikatakan berjaya menarik minat pasukan lain untuk saingan musim depan itu bakal dirantai pertahanan JDT.
Ketika ditanya mengenai kelebihan skuad juara bertahan Piala Malaysia itu berbanding skuad Penyu, Tchetche berkata, pada peringkat ini keupayaan kedua-dua pasukan adalah setaraf kerana masing-masing berjaya melangkah ke separuh akhir.
"Cuma pasukan yang banyak melakukan kesilapan serta tidak mempamerkan aksi terbaik bakal dihukum,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan