5 Perkara Tentang Maurício dos Santos Yang Perlu Anda Tahu

5 Perkara Tentang Maurício dos Santos Yang Perlu Anda Tahu

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) baru sahaja mengumumkan ketibaan pemain import baharu yang akan memperkuatkan skuad Harimau Selatan pada musim hadapan iaitu Maurício dos Santos Nascimento, pemain yang berasal dari Brazil.

Kehadiran beliau bukan sahaja untuk menggantikan pertahanan mereka Marcos Antonio yang diumumkan meninggalkan JDT pada malam tadi, tetapi ia adalah sebagai persediaan JDT untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang akan bemula pada tahun hadapan.

Siapakah pemain yang dibawa masuk oleh juara lima kali berturut-turut Liga Super ini? Berikut adalah 5 perkara yang anda perlu tahu mengenai Maurício dos Santos Nascimento.

Biodata pemain

Maurício dos Santos Nascimento dilahirkan pada 20 September 1988 dan kini berusia 30 tahun. Berasal dari Sao Paulo, Brazil dan memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak bersama Palmeiras, sebuah kelab berpengkalan di kota kelahirannya. Menghabiskan masa selama 5 tahun bersama Palmeiras B dan juga Palmeiras, beliau akhirnya berpindah ke Sports Club do Recife, sebuah kelab yang beraksi di dalam Serie A Brazil. Selain daripada posisi bek tengah, beliau juga berkemampuan untuk diturunkan sebagai pemain bek kanan.


Berhijrah ke Eropah

Pertahanan tengah ini mula berkelana ke Sporting CP pada musim panas tahun 2013. Sepanjang bersama gergasi Portugal, beliau berjaya tampil sebanyak 57 kali dan berjaya menjaringkan 2 gol di dalam pertandingan domestik dan juga Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Kecemerlangan beliau bersama Sporting CP membuat kelab yang berpengkalan di Rom, memancing beliau untuk ke saingan Serie A Itali. Beliau ditandatangani pada musim panas tahun 2015, selapas bermain dua musim bersama kelab Portugal tersebut.

Apa kisah di Itali?

Sebelum dipancing oleh Lazio, beliau terlebih dahulu dipinjamkan ke kelab tersebut. Namun begitu, kecemerlangan beliau hanya bertahan semusim sahaja iaitu pada musim 2015/16 dengan tampil sebanyak 24 kali dalam saingan Serie A. Musim berikutnya, beliau dipinjamkan ke kelab Rusia, Spartak Moscow selama satu musim. Tamat tempoh pinjaman, beliau kembali ke Stadio Olimpico namun semasa jendela perpindahan musim sejuk, beliau dipinjamkan ke Legia Warsaw, Poland. Tamat musim, Mauricio kembali ke Itali dan kemudiannya dilepaskan tanpa kelab.

Rakan sepasukan yang ternama

Bermain di sekitar eropah dengan dua buah kelab yang agak ternama dalam dunia bola sepak pastinya memberikan beliau peluang beraksi dengan beberapa pemain hebat. Semasa di Soprting CP, Mauricio pernah beraksi bersama-sama penjaga gol Rui Patricio (penjaga gol Portugal), pertahanan Marcos Rojo (skuad kebangsaan Argentina dan Manchester United) serta pemain sayap lincah Luis Nani (pemain kebangsaan Portugal dan Manchester United). Sementara itu, semasa di Lazio antara rakan sepasukannya ialah penyerang Miroslav Klose (penjaring terbanyak Piala Dunia), pemain tengah Lucas Biglia (Argentina), pertahanan tengah Stefan De Vrij (Belanda) dan pemain sayap kiri Felipe Anderson yang kini bermain bersama West Ham United, Liga Perdana Inggeris.

Kejuaraan yang dimenangi

Antara kejuaraan yang berjaya dirangkul oleh Maurício dos Santos Nascimento sebagai pemain adalah juara Liga Rusia 2017 (Spartak Moscow), juara Supercoppa Italia 2017/18 (SS Lazio), dan juara Liga dan Piala Poland 2017/18 (Legia Warsaw). Nampaknya, beliau juga akan membawa mentaliti juara ke dalam pasukan JDT lebih-lebih lagi di dalam saingan ACL 2019.

Ulasan