Yusri merungut jentera serangan tumpul



PENYERANG Kelantan, Cristiano Santos (tengah) diasak beberapa pemain MIFA dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui ketumpulan penyerang menjadi antara faktor yang menjejaskan mereka meraih kemenangan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan MIFA pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohamad IV, malam tadi.
Yusri mengakui kegagalan barisan pemain serangan yang diketuai Cristiano Santos dan Nik Azli Nik Alias banyak mempersiakan peluang keemasan di laman sendiri.
"Ketandusan jaringan dengan hanya satu gol dalam lima perlawanan membuktikan penyerang muda (Nik Azli) masih cetek pengalaman," katanya.
Apapun jurulatih kelahiran Perlis itu mengakui berbangga dengan barisan pertahanan diketuai Farisham Ismail dan Cassio yang ampuh mengekang asakan lawan tanpa memberi sebarang ruang untuk menjaringkan gol.
"Walaupun seri, saya berpuas hati dengan komitmen pemain yang melaksanakan tanggung jawab dengan mengikut arahan taktikal dan aksi babak pertama jelas mereka begitu bermotivasi apabila mengimbangi kekuatan MIFA," katanya.
Yusri mengakui tidak gemar mara dengan ihsan pasukan lain sambil mensasarkan kemenangan dalam baki satu perlawanan menentang Kedah di laman sendiri pada 16 September ini. 
"Saya harap pemain kembali fokus untuk bersaing meraih kemenangan dan layak ke suku akhir," katanya.
Sementara itu, pengurus MIFA, K Rajendran berpuas hati biarpun hanya mencapai keputusan seri tanpa jaringan dengan Kelantan.
"Pemain yang dibarisi keseluruhan muka tempatan tanpa dua tonggak import utama - Syedi L’Iman dan Kpah Sherman beraksi baik sehingga berjaya mencuri satu mata berharga.
"Malah, kami berpeluang menang sekiranya tiga peluang keemasan dimiliki Satish dimanfaatkan, " katanya. 
Selepas ini MIFA akan menerima kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam untuk perlawanan terakhir Kumpulan C pada 16 September ini.

Ulasan