REKOD cemerlang di gelanggang lawan pada saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia diharap diteruskan apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.
Itu harapan pemain tengah Pahang, Safuwan Baharudin apabila mereka sekadar seri 1-1 dengan Harimau Selatan di Stadium Darul Makmur, kelmarin.
“Bagi saya, dalam saingan musim ini terutama di peringkat kumpulan Piala Malaysia, kami beraksi dengan baik di tempat lawan berbanding di laman sendiri.
“Oleh itu, tidak mustahil kejayaan akan berpihak kepada Pahang untuk mencapai misi beraksi di final musim ini.
“Kami juga tidak mahu pertemuan dengan JDT yang terakhir buat kami beraksi di Stadium Darul Makmur musim ini,” katanya.
Pada peringkat kumpulan, Pahang menang semua tiga perlawanan di tempat lawan apabila menundukkan Selangor 2-0, PKNS FC (1-0) dan Sabah (4-0).
Namun di laman sendiri, rekod tidak memihak skuad kendalian Dollah Salleh apabila seri 1-1 dengan Sabah, PKNP FC (0-0) dan tewas 1-3 kepada Selangor.
Katanya, keputusan seri itu diharap membantu Tok Gajah untuk memberi tekanan kepada juara Liga Super itu.
“Biarpun kelebihan kini dimiliki JDT, kami akan melakukan apa saja untuk memastikan Pahang mara ke separuh akhir,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan