KUANTAN: Skuad Pahang sudah melupakan kegagalan mencipta kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas sekadar seri 1-1 pada suku akhir pertama Piala Malaysia, Ahad lalu.
Justeru, skuad kendalian Dollah Salleh kembali fokus apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.
Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, setakat ini semua pemain berada pada prestasi terbaik dan bebas daripada kecederaan.
"Motivasi pemain juga tinggi selepas berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Safuwan Baharuddin pada masa kecederaan.
"Gol penyamaan itu memberi keyakinan kepada pemain untuk mempamer prestasi lebih baik biarpun JDT memiliki kelebihan di laman sendiri.
"Saya harap pemain dapat bermain dengan lebih bagus terutama bahagian serangan yang diketuai Patrick Cruz dapat melakukan jaringan," katanya.
Mengulas rekod cemerlang di gelanggang lawan pada saingan peringkat kumpulan piala berprestij itu, Mohammed Suffian percaya skuad itu mampu meneruskan rentak itu.
Katanya, segalanya kini disandarkan sepenuhnya kepada pemain untuk menyekat lawan daripada melangkah ke separuh akhir.
"Saya harap pemain menjadikan rekod cemerlang di gelanggang lawan sebagai motivasi kerana ia adalah peluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
"Kegagalan merekodkan kemenangan ke atas JDT pada suku akhir pertama di Kuantan Ahad lalu, bukannya penamat kerana perlawanan masih berbaki 90 minit," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan