Langkau ke kandungan utama

Tok Gajah berdepan laluan sukar

PEMAIN JDT, Hazwan Bakri (kiri) diasak pemain pertahanan Pahang,

PEMAIN JDT, Hazwan Bakri (kiri) diasak pemain pertahanan Pahang, Mohamad Muslim Ahmad pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.
KETUA Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui pasukannya terleka ketika menentang skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia yang berakhir seri 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.
Pada aksi itu, Pahang terpaksa berhempas pulas selama 40 minit sebelum pemain te­ngah, Safuwan Baharudin berjaya mencetak gol penyamaan untuk mengikat JDT dengan kedudukan 1-1 ketika lewat perlawanan.
Menurut Dollah, gol penya­maan yang disudahkan Safuwan pada minit-minit akhir itu, bagaimanapun tidak akan membuatkan tugas mereka menjadi mudah apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Yunos, Larkin pada 29 September ini.
“Saya melihat pemain masih leka selepas pengadil meniup wisel memulakan separuh masa kedua. Kelekaan itu hanya dapat diatasi pemain (Pahang) selepas Gonzalo Cabrera menjaringkan gol buat JDT pada minit ke-46.
“JDT bukan calang-calang pasukan dan agak sukar untuk bermain di Larkin dengan bekalan gol penyamaan itu tetapi saya harap, gol penyamaan itu dapat suntik semangat pemain untuk beraksi lebih baik,” kata Dollah.
Mengulas pertemuan kelmarin, Dollah berkata, kelancaran rentak serangan para pemain­nya menyaksikan ia beberapa kali terbantut apabila perlawanan kerap terhenti.
“Rentak serangan Pahang ke­rap tersekat disebabkan pemain JDT nampak seperti melengah-lengahkan perlawanan sehingga kita tidak sempat melakukan apa-apa.
“Apabila hendak menyerang, selalu ada saja sepakan percuma, berlaku kesalahan pemain dan sebagainya. Hanya ketika melakukan serangan balas pada hujung perlawanan memboleh­kan Pahang berjaya menjaringkan gol,” tambah Dollah.
Secara keseluruhan, Dollah memberitahu, beliau turut berasa kecewa kerana tidak dapat melihat aksi sebenar yang sepatutnya ditonjolkan kedua-dua pasukan pada perlawanan itu.
“Perlawanan ini sepatutnya menjadi aksi sangat menarik kerana kedua-dua pasukan memiliki ramai pemain bagus secara individu.
“Pahang ada Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Safuwan, Azam Azih dan beberapa pemain lain. JDT ada Cabrera, Safawi Rashid, Hazwan Bakri dan lain-lain.
“Namun, saya agak kecewa kerana perlawanan kerap terhenti sehingga kita tidak dapat melihat aksi sebenar yang sepatutnya dipamerkan kedua-dua pasukan,” ujar Dollah.

Ulasan