Siap plan A, B benam Pahang




JOHOR BAHRU: Bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid tidak sanggup pulang dengan tangan kosong apabila juara bertahan Piala Malaysia itu berdepan Pahang, pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, esok.
Namun di sebalik keghairahan memburu kemenangan, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu yang sudah meledak 14 gol dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) tetap berwaspada dengan ancaman skuad Tok Gajah.
Tanpa berselindung, dia menyifatkan kelibat Mohamadou Sumareh, Patrick Cruz dan Issey Nakajima yang membarisi skuad Dollah Salleh adalah pemain berbahaya dan jika tidak diawasi, mereka mampu menidakkan hasrat JDT.
"Tidak tahu lagi sama ada Sumareh, Cruz dan Issey akan turun beraksi atau tidak. Kami tidak boleh ambil sikap tunggu dan lihat, tetap kena berjaga-jaga kerana mereka cukup berbahaya.
"Persiapan kami berjalan baik selepas sesi latihan yang rapi. Saya sendiri gembira dengan kesungguhan jurulatih (Luciano Figueroa) merencana strategi.
"Agak menarik juga apabila Luciano membentuk formasi yang mengutamakan kekuatan di pertahanan, membentuk kreativiti di posisi tengah dan memperkemaskan ketajaman serangan.
“Malah sudah ada pelan A dan pelan B," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.
Safawi yang kini dilabel penyerang muda berkebolehan selepas menyerlah pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, bertekad untuk membantu skuad Harimau Selatan mempertahankan piala berprestij dua musim berturut-turut.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan betapa ketiadaan Fernando Marquez yang diketepikan akibat kecederaan ketika menentang MIFA, baru-baru ini menjejaskan ketajaman barisan serangan.
"Kami pernah melalui saat getir apabila hampir tidak layak ke suku akhir selepas mengalami tiga kekalahan dan itu semua memberi pengajaran berguna. Segala perit jerih untuk layak ke pusingan kalah mati akan dijadikan motivasi dalam aksi menentang Pahang," kata Safawi.

Ulasan