KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa meluahkan kekecewaan selepas skuad itu melepaskan gol pada masa kecederaan yang menyaksikan keputusan seri pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.
Beliau berkata, keputusan seri bukannya yang diinginkan Harimau Selatan itu kerana misi utama adalah merekodkan kemenangan di Stadium Darul Makmur. "Kami datang ke sini (Kuantan) dengan misi kemenangan tetapi ia dinafikan dengan jaringan tuan rumah pada masa kecederaan.”
“Bagi saya, keputusan ini tidak bagus buat pasukan. Oleh itu, kami akan memperbaiki segala kesilapan apabila bertemu Pahang sekali lagi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.’
"Sepatutnya, kita membawa bekalan selesa dengan kemenangan 1-0 tetapi kesilapan di saat akhir menyebabkan kita akur seri 1-1 di tempat lawan," katanya. Mengulas ketiadaan Fernando Márquez yang diketepikan akibat kecederaan, Figueroa berkata, skuad itu amat merasainya terutama di bahagian serangan.
"Dia (Marquez) seorang pemain yang bagus dan boleh membantu pasukan. Oleh itu, pada suku akhir kedua nanti, kami perlu memanfaatkan kelebihan di laman sendiri. "Saya mahu semua pemain dapat memperbaiki kesilapan dan beraksi dengan lebih baik untuk memastikan JDT melangkah ke pusingan seterusnya," katanya.
Pada perlawanan itu, Gabriel Cabbera menceriakan Harimau Selatan selepas menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-46.
Namun, pemain tengah Pahang, Safuwan Baharuddin muncul wira selepas menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.
Ulasan
Catat Ulasan