Safawi tak 'goyang'



KUALA LUMPUR: Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menegaskan tiada masalah untuk berdepan Pahang di suku akhir Piala Malaysia walaupun Harimau Selatan dilihat memiliki rekod kurang baik dengan skuad Tok Gajah.
Safawi berkata, kemenangan ke atas MIFA, malam tadi menjadi suntikan semangat serta motivasi kepada JDT selepas mengalami kekalahan dalam tiga perlawanan Kumpulan C.
“Kami akan cuba sedaya upaya dan pada masa sama melupakan segala kekalahan yang pernah dilalui supaya dapat meneruskan kemenangan sehingga ke peringkat akhir.
“Kami akan bertemu Pahang untuk pusingan seterusnya nanti. Kami pernah bertemu dengan pasukan itu sebelum ini dan berjaya menewaskan mereka ketika dalam saingan Liga Super. Justeru, saya yakin ia bukan satu masalah bagi kami.
“JDT selaku juara bertahan sudah semestinya kami mahu mempertahankan kejuaraan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, JOHOR Southern Tigers, hari ini.
JDT mencipta kebangkitan saat akhir untuk meloloskan diri ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan MIFA 3-0 pada aksi penutup Kumpulan C di Stadium Shah Alam, sekali gus menempah pertemuan dengan Pahang.
Rekod JDT bertemu musuh ketat itu dalam saingan kalah mati dilihat kurang memberangsangkan apabila tewas dalam empat perlawanan terakhir termasuk final Piala Malaysia 2014 menerusi sepakan penalti 5-3 apabila terikat 2-2 selepas aksi 120 minit permainan.
Tiga lagi pertemuan dalam kempen Piala FA juga menyaksikan skuad Harimau Selatan tersingkir dua kali di peringkat suku akhir  menerusi agregat 3-0 tahun ini dan 4-3 pada 2017 sementara pada pertembungan separuh akhir pada 2014 mereka kalah 2-1.   
Namun, rekod itu tidak seharusnya menghakis keyakinan pemain JDT yang kali terakhir menumpaskan Pahang di saingan kalah mati pada separuh akhir Piala FA 2013 menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 2-2 kerana mereka berada di prestasi terbaik ketika ini.

Ulasan