Ramai kekal di JDT


KUALA LUMPUR: Masa depan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat terus cerah selepas ramai tonggak pasukan itu memilih untuk kekal bersama pasukan terbabit bagi musim akan datang.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards mengesahkan tiga pemain mudanya sudah menyambung kontrak untuk jangka masa panjang sekali gus akan membantu skuad Harimau Selatan itu meneruskan momentum yang dilakar sejak beberapa tahun ini.
Malah, beberapa pemain lain juga turut akan meneruskan khidmat bersama pasukan itu selepas menyambung kontrak mereka antara satu hingga tiga tahun.
“Safawi Rasid, Haziq Nadzli dan Syamer Kutty sudah menandatangani perjanjian baharu selama empat tahun iaitu sehingga tahun 2022,” kata Edwards menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers, malam tadi.
“Fazly Mazlan, Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq sudah menandatangani sehingga tahun 2021 sementara Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Fazail dan Gary Steven Robbat pula sehingga tahun 2020.”
Lebih menggembirakan, dua tonggak pertahanan pasukan itu, S Kunanlan dan Aidil Zafuan Abdul Radzak turut memperbaharui kontrak mereka selain beberapa pemain dijangka akan terus kekal bersama pasukan.
“Kunanlan melanjutkan kontrak satu musim dengan pilihan untuk memperbaharui satu tahun lagi sehingga 2020 dan Aidil melanjutkan kontrak sehingga 2019.
“Terdapat beberapa pemain tempatan yang turut mempunyai kontrak sehingga penghujung musim 2019 dan JDT masih berunding dengan tiga pemain lagi,” katanya.
Pada masa sama, JDT dilihat mahu ‘memadamkan’ impian pasukan lain yang cuba mengintai khidmat pemain mereka apabila turut memasukkan syarat pembelian yang bernilai jutaan ringgit.
“Syarat pembelian antara RM6 juta hingga RM15 juta juga termasuk dalam kontrak,” katanya.
Langkah ini boleh dianggap tepat memandangkan JDT akan menempuh cabaran baharu pada musim hadapan selepas melayakkan diri ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) 2019.

Ulasan