Piala Malaysia tak beri kesan kepada JDT: TMJ



PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren jamaludin

KUALA LUMPUR: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan bahawa pencapaian mereka dalam saingan Piala Malaysia tidak akan memberi kesan kepada perancangan kelab itu tahun depan.
Beliau berkata, JDT mengharungi salah satu kempen terbaik musim ini dan tiada tekanan untuk mereka mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.
"Saya rasa ini adalah salah satu tahun yang terbaik di JDT. Kenapa? Kami bukan sahaja telah mencapai sasaran kami untuk memenangi Liga Super untuk kali kelima berturut-turut, kami juga berjaya layak bermain dalam Liga Juara-Juara AFC yang berprestij.
"Ketika ini kempen Piala Malaysia sedang berlangsung dan kami belum lagi mencapai prestasi tertinggi dan kami memasuki perlawanan akhir kumpulan dengan memerlukan kemenangan untuk kami mara ke peringkat seterusnya. Kami membenarkan tujuh pemain kami - termasuk salah seorang pemain utama kami, Safawi Rasid untuk bermain bersama Malaysia di Sukan Asia dan itu ‘speaks louder than words.’
"Saya sangat gembira serta bersyukur tahun ini dan ia tidak akan berubah apa-apa sama ada kita memenangi Piala Malaysia atau tidak. Sudah tentu kami mahu memenanginya, tetapi ia tidak akan mengubah banyak di dalam kelab selain menambah trofi lain untuk koleksi 11 trofi kami dalam tempoh lima tahun.
"Saya beri jaminan kepada anda, kami akan mempunyai skuad yang kuat tahun hadapan. Saya yakin dengan perkara ini," katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook, Johor Southern Tigers hari ini.
Nasib JDT untuk melepasi saingan Kumpulan C Piala Malaysia belum pasti selepas mengalami kekalahan 1-3 kepada Kedah di Alor Setar malam tadi, iaitu kekalahan ketiga sekali gus menyaksikan mereka kini menduduki tangga ketiga kumpulan.
Namun peluang mereka masih ada andai meraih kemenangan ke atas pendahulu MIFA pada aksi terakhir 16 September ini.
Bagaimanapun Tunku Ismail sendiri mengakui tertanya-tanya sama ada pemain masih bermotivasi mengejar gelaran Piala Malaysia.
"Para pemain telah mencapai sasaran mereka dengan memenangi gelaran liga dan begitu bermotivasi melakukannya.Sekarang sudah menjelang akhir musim dan saya tertanya-tanya adakah sesetengah pemain mahu berehat lebih lama selepas kempen liga yang melelahkan dan sebelum bermulanya musim 2019.
"Juga masih terdapat pertandingan Piala AFF sebaik sahaja musim ini berakhir dan ia akan menambah lagi perlawanan yang dimainkan oleh pemain untuk tahun ini, dan memenangi Piala Malaysia mungkin tidak menawarkan apa-apa lebih daripada sekadar pingat kepada sesetengah mereka. Saya harap perkara ini tidak berlaku," katanya.

Ulasan