Luciano Figueroa mengakui saingan Piala Malaysia musim ini lebih sukar untuk JDT lagi-lagi dalam misi selaku juara bertahan pada musim lalu.
JDT mencatatkan dua kemenangan dalam saingan Kumpulan C namun tewas tiga kali iaitu kepada MISC-MIFA, Kedah dan Kelantan.
Ini menyebabkan JDT berada di tempat ketiga dengan mengumpulkan enam mata iaitu dua mata dibelakang MISC-MIFA dan Kedah manakala Kelantan di tempat terakhir dengan lima mata namun masih berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya.
Ahad ini akan jadi penentu apabila mereka menentang pendahulu kumpulan, MISC-MIFA pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun, Figueroa tetap berasa yakin JDT akan mencatatkan kemenangan berdasarkan reputasi kelabnya selaku juara lima kali Liga Super.
“Saya yakin dengan kemampuan pemain dan tidak perlu risau kedudukan dalam kumpulan walaupun selepas tewas kepada Kedah kerana apa yang saya perlu lakukan ketika ini adalah memberi motivasi kepada mereka supaya beraksi mengikut kemampuan sebenar pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
“Kami sudah mencipta kejayaan memenangi Liga Super lima musim berturut-turut dan sudah tentu pasukan yang belum memenangi kejuaraan akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mencatatkan kemenangan.
“Tidak dinafikan saingan pada akhir musim amat sukar namun kami akan berusaha memberi persembahan terbaik pada aksi terakhir kumpulan dan cuba mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
JDT terpaksa melupakan khidmat Marcos Antonio yang digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Kedah.
Ini bermakna Fadhli Shas mungkin akan digandingkan dengan Aidil Zafuan Radzak atau Kiko Insa.
Ulasan
Catat Ulasan