KUANTAN: Skuad Pahang belum menyerah kalah selepas sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi. Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, skuad itu masih lagi mempunyai baki 90 minit untuk menafikan Harimau Selatan mengisi slot separuh akhir piala berprestij itu.
"Oleh itu, kami perlu membetulkan beberapa kesilapan terutama pada separuh masa kedua bermula apabila kita melepaskan gol awal.
"Sepatutnya, pemain lebih fokus sebaik wisel ditiup tetapi mereka belum sedia dan kami dihukum dengan jaringan lawan pada minit ke-46. "
Gol berkenaan menyentap moral pemain walaupun pada saat- akhir gol penyamaan berjaya diperolehi sekali gus menghalang JDT meraikan kemenangan," katanya.
Namun, Dollah tetap berpuas hati dengan keputusan seri itu kerana pada satu ketika skuad itu hampir tewas berdepan dengan sebuah pasukan yang hebat.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, sekiranya tewas, ia akan menyukarkan Pahang untuk memberi tentangan sengit di Larkin nanti.
"Secara keseluruhannya, rentak permainan pasukan tersekat kerana JDT melengah-lengahkan perlawanan yang memberi kesan terhadap persembahan pasukan.
"Pada masa sama, kita juga gagal bermain dengan baik terutama pada babak kedua dan jaringan penyamaan di penghujung permainan melegakan kami. "Saya harap pada aksi suku akhir kedua Pahang dapat mencipta kemenangan biarpun JDT dilihat memiliki kelebihan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan