NS, Sarawak seri, Johor tersingkir



SERI MANJUNG: Negeri Sembilan dan Sarawak berkongsi mata apabila seri 0-0 dalam perlawanan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19  di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), petang tadi.
Kedua-dua pasukan yang masing-masing turun dalam perlawanan kedua berusaha gigih untuk mencari kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan A.
Begitupun, penyudah tumpul menyaksikan mereka gagal memecah kebuntuan sehingga tamat perlawanan.
Dengan keputusan itu, Negeri Sembilan yang menang 2-1 ke atas Perlis dalam perlawanan pertama kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan mengutip empat mata.
Manakala Sarawak yang seri 1-1 dengan Perak dalam perlawanan pembukaan juga berpeluang untuk menempah kemaraan ke peringkat suku akhir tetapi segalanya bergantung kepada perlawanan terakhirnya menentang Perlis.
Sementara itu, Terengganu mengatasi Johor 2-1 dalam saingan Kumpulan B di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim. Dengan keputusan itu, Johor tersingkir daripada saingan ke suku akhir selepas mengalami kekalahan kedua. Pada aksi pertama, Johor tewas 0-1 kepada Wilayah Persekutuan.

Ulasan