Muhaimin mahu MIFA kekal momentum



GAMBAR fail, Pemain JDT, Mohd Afiq Fazail (4) diasak penjaga gol Mifa, Mohd Muhaimin Mohamad (1) pada perlawanan Unifi Piala Malaysia peringkat kumpulan © 2018, di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SEREMBAN: Penjaga gol MIFA, Muhaimin Mohamad akui pasukannya menghadapi tugas mencabar dalam misi layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini kerana bakal berdepan pasukan Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi penentuan Kumpulan C, 16 September ini.
Namun, tonggak berpengalaman itu yakin misi berkenaan bukan mustahil untuk direalisasikan jika semua pemain dapat memperagakan aksi lebih mantap selain mengharapkan tuah Stadium Shah Alam.
"Memang misi layak ke suku akhir amat mencabar apabila bertemu JDT pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, tapi ianya masih boleh dicapai jika kami dapat mengulangi aksi cemerlang seperti pada aksi pertama di Stadium Larkin, bulan lalu.
"Namun, saya yakin rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik dan berjuang habis-habisan pada perlawanan itu untuk meraih kemenangan.
"Bagi saya peluang masih ada dan beranggapan ia 50-50 kerana kami hanya memerlukan keputusan seri berbanding JDT yang perlu menang pada aksi itu nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muhaimin berkata, dia tidak rela hasratnya untuk membantu MIFA layak dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada penyertaan sulung mereka tersasar selepas berjuang meletakkan pasukan itu di tahap yang membanggakan musim ini dengan menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Perdana.
Malah bekas pemain Kedah itu berkata, kemampuan MIFA bersaing dengan pasukan elit lain dalam kempen Piala Malaysia perlu diteruskan dengan meraih keputusan dan pencapaian yang baik.

Ulasan